Dua rakyat Sabah Maklin Masiau dan Lawrence Jomiji Kinsil mendakwa Presiden PAS Abdul Hadi Awang melakukan hasutan dan tidak layak memegang jawatan dalam kerajaan. |
Maklin hanya menandatangani afidavit tetapi tidak mengesahkannya di hadapan pesuruhjaya sumpah.
Hakim Besar Malaya Zabidin Diah yang mengetuai panel tiga hakim, berkata notis usul itu tidak disokong oleh afidavit yang sah dan betul.
“Permohonan di hadapan kami tidak cekap dan, oleh itu, kami membatalkannya. Kami tidak memerintahkan sebarang kos,” katanya ketika membenarkan bantahan awal oleh peguam Hadi, Yusfarizal Yussoff.
Turut bersidang Hakim Mary Lim dan Harmindar Singh Dhaliwal.
Terdahulu, peguam R Kengadharan memberitahu panel hakim bahawa dia sukar mengesan Maklin yang menetap di Labuan untuk mengatur afidavit itu.
“Mendiang peguam Gopal Sri Ram yang berhubung dengan pemohon. Saya minta lebih masa untuk mengesan Maklin,” katanya.
Sri Ram, 79, meninggal dunia pada 29 Jan.
Yusfarizal berkata, peguam pemohon mengetahui mengenai afidavit yang cacat itu sejak Oktober lalu, tetapi tiada tindakan diambil untuk membetulkannya.
Beliau berkata, firma guaman Kengadharan adalah peguam cara dalam rekod sejak perkara itu bermula di Mahkamah Tinggi.
“Mereka juga tidak memfailkan kebenaran untuk menggunakan afidavit yang rosak. Peluang kedua tidak sepatutnya diberikan,” kata peguam yang dibantu Adam Luqman Amdan.
Pada 16 Sept tahun lalu, Mahkamah Rayuan menolak rayuan rakyat Sabah untuk menghidupkan semula saman difailkan pada 2020.
Hakim Vazeer Alam Mydin Meera berkata, panel tiga hakim membuat kesimpulan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi pada 2021 tidak secara nyata salah di sisi undang-undang.
Mahkamah Rayuan berkata ia bersetuju dengan Mahkamah Tinggi bahawa dua perisytiharan yang dipohon oleh rakyat Sabah tidak dapat dipertahankan sepenuhnya dan sepatutnya dibatalkan.
Pada 11 Mei 2021 hakim Akhtar Tahir membenarkan permohonan Hadi untuk membatalkan saman itu, dengan berpendapat kedua-dua plaintif tidak mempunyai locus standi untuk membawa tindakan itu.
Kedua-duanya memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi pada Disember 2020, memohon pengisytiharan bahawa Hadi melakukan hasutan dan tidak layak untuk memegang jawatan dalam kerajaan.
Mereka menuduh Hadi membuat kenyataan menghasut terhadap penganut dan mubaligh Kristian yang diterbitkan akhbar PAS, Harakah, pada 18 Jan 2016, tetapi tidak pernah didakwa.
Dalam afidavit untuk menyokong tindakan itu, kedua-dua individu itu berkata, kenyataan Hadi turut disiarkan FMT pada hari sama.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment