NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tauliah ceramah: JAIPs akan panggil Wadi Annuar

Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar. - Foto ihsan Ustaz Wadi Annuar


KANGAR: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) akan memanggil pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub atau lebih dikenali sebagai Ustaz Wadi Annuar serta penganjur sebuah program agama membabitkan sebuah parti politik untuk memberi keterangan berhubung ceramah tanpa tauliah.

Mufti Perlis yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengawasan Pengajaran Agama Islam Negeri Perlis, Jabatan Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata program berkenaan dianjurkan parti berkenaan di sebuah kompleks pendidikan di Kampung Abi, Padang Machang, tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.


Katanya, Wadi Annuar dan penganjur dikehendaki hadir untuk diambil keterangan di Pejabat JAIPs pada 17 April ini dan satu proses tindakan undang-undang akan dijalankan secara sivil dan syariah selepas itu.

"Kita (Jabatan Mufti Negeri Perlis) yang keluarkan tauliah dan JAIPs yang melaksanakan penguatkuasaannya dan dalam hal ini, melalui perjumpaan dengan Exco Agama Islam Negeri Perlis, pihak berkenaan sudah ditawarkan dan dipelawa untuk memohon tauliah kerana kita akan nilaikan dahulu, jadi dia (perlu) pohonlah dahulu tauliah itu.

"Kita hendak tengok juga siapa dia yang hendak ceramah tetapi dia enggan malah semasa dua kali perjumpaan bersama JAIPs juga sudah ditegaskan supaya minta tauliah terlebih dahulu tetapi beliau tetap juga enggan dengan alasan tersendiri seperti ceramah itu dilakukan di premis peribadi dan sebagainya.

"Oleh hal demikian, apabila peristiwa ini berlaku, kita tengok ia sudah sampai ke tahap di mana toleransi kita selama ini dianggap dan diambil sebagai satu ruang untuk mempersendakan peraturan apatah lagi setelah dikeluarkan titah oleh Raja Perlis dan bukan sahaja Raja Perlis yang keluarkan titah seperti ini Sultan dan pemerintah di negeri lain juga mengeluarkan perkara yang sama," katanya ketika ditemui di Pejabat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sini hari ini.

Katanya, dalam kejadian semalam, penguat kuasa JAIPs bukan datang untuk menangkap Wadi Annuar sebaliknya hanya mahu mengambil keterangan sahaja.

"Namun, tindakan itu dihalang dengan satu halangan besar daripada hadirin dalam majlis itu dengan cara yang tidak terhormat meskipun terdapat anggota polis yang hadir mengawal kejadian berkenaan.

"Apa yang mendukacitakan juga adalah ada yang mengeluarkan perkataan 'kafir' kepada pihak berkuasa agama ini dan ini adalah satu hal yang tidak wajar terutama kita ketika dalam Ramadan ini kerana kita mempunyai peraturan di semua tempat," katanya.

Beliau mempersoalkan tindakan pendakwah berkenaan yang mengambil alasan ceramah dilakukan di premis peribadi atau premis persendirian menyebabkan dia tidak perlu memohon pentauliahan daripada Jabatan Mufti Negeri perlis.

"Namun, apabila diadakan dengan satu poster yang memanggil muslimin dan muslimat datang, tidak mungkin itu semua keluarga terdekatnya (hadir di tempat persendirian), ini juga satu penghinaan kepada pemikiran kita supaya kita diperbodohkan dengan isu ini," katanya mengulas dakwaan penganjur program berkenaan diadakan di premis persendirian.

Beliau berkata, jika dinilai daripada isu yang berlaku ini seperti pengajaran agama Islam dan penceramah tanpa tauliah bukanlah isu setempat di Perlis sahaja tetapi diperkatakan di seluruh negara.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop ketika dihubungi mengesahkan satu laporan polis sudah dibuat semalam dan kertas siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam.

Malam tadi, kekecohan timbul di program itu apabila mereka yang hadir menghalang penguat kuasa JAIPs menemui Wadi Annuar untuk diambil keterangan dan melakukan siasatan.


Sumber I Sinar Harian 




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo