NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Seorang lagi ADUN WARISAN sertai Gagasan Rakyat




SANDAKAN (Utusan Borneo): Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin hari ini telah mengumumkan keluar dari Parti Warisan (WARISAN) dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).


Menurut kenyataan beliau, rakyat sudah tidak mahu melihat keadaan politik yang tidak stabil yang telah mengakibatkan terbantutnya perkembangan dan kemajuan di Sabah, termasuk kawasan Karamunting.

“Rakyat sudah penat dengan kemelut politik di Sabah. Hanya dengan kestabilan politik yang utuh kita boleh membawa pembangunan dan perubahan, khususnya di Karamunting yang mendahagakan pelbagai pembaharuan dan pembangunan.

“Demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan Karamunting, saya membuat keputusan untuk menyokong kepimpinan kerajaan perpaduan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan juga kerajaan negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,” katanya semalam.

George memenangi kerusi Karamunting atas tiket WARISAN pada tahun 2018 dan 2020. Beliau pernah menjadi Pembantu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan selama dua tahun.


Beliau mengucapkan terima kasih kepada Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal atas peluang yang diberikan kepada beliau di dalam arena politik.

“Namun, sekarang adalah masa untuk memberikan sepenuh tumpuan dan perhatian untuk menyatupadukan rakyat Sabah, membangunkan Sabah, dan menuntut hak-hak kita yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963.

“Saya akan menyumbangkan segala tenaga dan masa saya untuk bekerja dan memastikan kebajikan rakyat di kawasan saya akan terus terjaga, disamping membawa pembangunan yang diperlukan di Karamunting,” katanya. 

 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo