Cristiano Ronaldo. - Foto Twitter
Cristiano Ronaldo. - Foto Twitter

RIYADH: Pemain antarabangsa Portugal, Cristiano Ronaldo memenangi hati peminat di Internet selepas mesejnya kepada penganut Islam di seluruh dunia yang menyambut permulaan Ramadan tahun ini.

Bulan suci Ramadan bermula hari ini dan berakhir 22 April depan dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ronaldo, yang menjadi duta tidak rasmi Arab Saudi, menggunakan kesempatan dengan mengucapkan salam Ramadan kepada seluruh peminat beragama Islam.

Ciapan terbaharunya di Twitter berbunyi: "Ramadan Mubarak to all Muslims (Selamat menyambut Ramadan kepada penganut agama Islam."


Ciapannya itu jelas mengujakan peminatnya apabila ramai yang membalas dengan mengucapkan jutaan terima kasih kepada penyerang kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr berusia 38 tahun itu.

Ia bagaimanapun bukan kali pertama Ronaldo mengucapkan salam Ramadan kepada peminatnya kerana dalam hantaran di Facebook dua tahun lalu dia turut tidak melupakan hari bermakna buat penganut agama Islam ketika dia masih beraksi dengan kelab terdahulunya Manchester United.

Beberapa pemain bola sepak terkenal di dunia termasuk N'Golo Kante, Sadio Mane, Riyad Mahrez dan Mohamed Salah akan menjalani ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

Bintang Liverpool dari Mesir, Salah turut mengucapkan selamat menyambut Ramadan kepada peminatnya yang beragama Islam di seluruh dunia.

"Ramadan Kareem untuk semua," tulis Salah dalam InstaStory miliknya @mosalah.

Namun ucapan daripada Salah tidak begitu mengejutkan kerana dia memang diketahui umum antara pemain bola sepak terkenal yang beragama Islam.

Begitu juga bintang Chelsea, Hakim Ziyech dari Maghribi yang menghantar ucapan serupa di InstaStory miliknya @hziyech.