NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rodziah nafi unsur kroni dalam pembelian Rumah Selangorku



SHAH ALAM, 11 Mac (Bernama) -- Kerajaan Selangor hari ini menafikan dakwaan wujudnya unsur kroni berkaitan pembelian rumah pertama Rumah Selangorku.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri Rodziah Ismail berkata isu kroni bukan masalah utama sebaliknya ia berpunca daripada kekuatan pinjaman yang dimiliki oleh bakal pembeli rumah tersebut.

"Kadang-kadang namanya sudah masuk (dalam senarai menunggu pembelian) dan dia berpeluang (untuk mendapatkan Rumah Selangorku), tapi tidak lulus pinjaman jadi namanya digugurkan.

"Jadi hanya mereka yang mempunyai (lulus) pinjaman sahaja yang dapat (memiliki Rumah Selangorku). Kroni itu bukan isu dan saya rasa (dakwaan itu) tidak betul," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran BPEX Harta Tanah Bumiputera Selangor di Central i-City di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan terdapat segelintir pihak yang sukar mendapatkan unit rumah berkenaan kerana sudah diberikan kepada individu lain menerusi ‘orang dalam’.

Rodziah turut menegaskan pihaknya tidak mempunyai senarai nama tertentu bagi membolehkan pihak berkenaan memperoleh unit Rumah Selangorku.

"Semua permohonan untuk membeli Rumah Selangorku dibuat secara dalam talian menerusi sistem khas dan ia dipantau oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

"Kita juga ada audit dalaman yang akan melihat bagaimana LPHS meluluskan pembelian rumah tersebut," katanya.

Beliau berkata hampir 1,500 unit kediaman dan pejabat untuk kuota bumiputera ditawarkan di sekitar Selangor bermula pada harga RM230,000 ke atas.

Dalam pada itu, Rodziah berkata pihaknya berjaya menyelesaikan tujuh daripada lapan projek perumahan yang terbengkalai sejak 1993 di negeri ini.

"Hanya satu projek perumahan di Bukit Cherakah, di sini sahaja yang sedang diperkemas kerana mungkin Exco-exco terdahulu mempunyai masalah untuk merungkai masalah di situ.

"Dengan latar belakang yang saya ada dalam bidang kejuruteraan, kita dapat selesaikan (masalah projek)," katanya.

-- BERNAMA




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo