NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Professor Nejmuddin Erbakan Tokoh Ulung Politik Islam Abad Ini


SELEPAS zaman kejatuhan Khilafah Uthmaniyah, Islam umpama pesalah di dalam kandang mahkamah yang acapkalali dituduh dengan pelbagai tuduhan jahat termasuk tokoh-tokohnya yang sering dilabel dengan pelbagai label negatif walaupun membawa perkara yang benar dan mulia.

Namun di sebalik pelbagai gambaran dan tuduhan yang dilemparkan kepada tokoh-tokoh Dunia Islam, nama-nama seperti Hassan Al Banna, Ahmad Deedat, Syeikh Yusuf Al Qardhawi, Ayatollah Khomeinei dan beberapa tokoh lagi berjaya menambat hati dunia sekali gus menolak dakwaan yang dilemparkan terhadap Islam.

Salah satu daripada tokoh-tokoh tersebut ialah Prof. Nejmuddin Erbakan, yang boleh saya gambarkan sebagai seorang tokoh Islam yang ulung, berkaliber dan mempunyai visi yang hebat untuk mengangkat kembali Dunia Islam dan umatnya ke tahap yang lebih tinggi serta dihormati oleh kawan dan lawan.

Ketika remaja saya hanya mendengar dan membaca mengenai tokoh hebat ini khususnya melalui majalah al-Mujtama, sebuah majalah mingguan dari negara Kuwait yang banyak melaporkan dan menganalisa politik semasa Dunia Islam termasuk juga berita mengenai ketokohan pemimpin-pemimpin Dunia Islam.

Pada Mac 2003, saya begitu teruja apabila dapat menemani ayahanda Tuan Guru menemui sendiri tokoh ini di kediaman beliau di Ankara, Turki. Ketika itu beliau dikenakan tahanan dalam rumah dan dilarang terlibat dengan politik oleh pihak berkuasa tentera yang mengguling kerajaan pimpinannya pada tahun 1997.

Dari situlah saya melihat bagaimana hebatnya pemikiran dan idea-idea Prof. Nejmuddin Erbakan yang jauh ke hadapan bukan sahaja dalam menganalisis politik semasa Dunia Islam bahkan turut memberi solusi kepada setiap permasalahan yang timbul demi masa depan dunia dan umat Islam.

Pada tanggal 27 Februari 2023 yang lalu, genaplah 12 tahun pemergian Allahyarham Prof. Nejmuddin Erbakan setelah menghabiskan usia selama 85 tahun yang penuh dengan liku-liku perjuangan di tengah-tengah keruntuhan pusat kerajaan Islam terakhir, Khilafah Uthmaniyyah di Turki.

Profesor Nejmuddin Erbakan dilahirkan pada tanggal 29 November 1926 di Sinop, sebuah wilayah yang terletak di pesisir Laut Hitam daripada keluarga yang kuat pegangannya dengan ajaran Islam. Keluarganya dari keturunan Dinasti Seljuq yang pernah memerintah Turki sebelum beralih kepada kerajaan Uthmaniyyah.

Selepas menamatkan pengajiannya di peringkat rendah dan menengah, beliau menyambung pengajiannya di Universiti Istanbul dalam bidang kejuruteraan mesin. Pada tahun 1951 beliau menyambung pengajiannya di peringkat PhD di Universiti Aachen, Jerman dalam bidang kejuruteraan enjin sehingga tamat pada tahun 1959.

Penglibatan Prof Nejmuddin Erbakan dalam politik

Sebagai seorang anak muda yang hidup iltizam dengan agamanya, sudah tentu Prof. Nejmuddin Erbakan menanggung kesedihan melihat tamadun Islam yang dibina oleh Rasulullah S.A.W akhirnya diruntuhkan oleh anak bangsanya sendiri.

Namun kesedihan dan kekecewaannya tidak menjadi halangan bahkan daripada situ beliau memulakan kembali langkah membina semula batu-bata Khilafah Islam yang hilang demi mengembalikan izzah Dunia Islam.

Justeru, bidang kejuruteraan yang diceburinya bukan sahaja dimanfaatkan untuk membina mesin-mesin kejuruteraan bahkan beliau juga adalah di antara tokoh yang menjadi arkitek kepada pembinaan semula politik Islam di Turki dan Dunia Islam.

Perjalanan politiknya bermula pada tahun 1970 apabila beliau menubuhkan Parti Al-Nizam Al-Watani yang banyak dipengaruhi oleh gerakan an-Nursi. Setelah sembilan bulan ditubuhkan, parti ini diharamkan lalu beliau menubuhkan parti Selamah pada tahun 1972 dan berjaya memenangi 50 kerusi parlimen.

Pada tahun 1980, satu rampasan kuasa telah dilakukan oleh tentera Turki diketuai oleh General Kenan Evran di mana lebih 500,000 orang telah ditangkap termasuk Prof. Nejmuddin Erbakan dan beliau turut dipenjarakan termasuk parti politiknya diharamkan.

Setelah tiga tahun di bawah pemerintahan tentera, Turki kembali semula kepada sistem demokrasi dan parti Refah telah ditubuhkan oleh Prof. Nejmuddin Erbakan bagi menghadapi pilihan raya pada tahun tersebut.

Parti Refah mendapat tiga peratus undi dalam pilihanraya tersebut dan berjaya memenangi kerusi Datuk Bandar di tiga buah bandar iaitu Konya, Sanliurfa dan Van.

Parti Refah menyertai Pilihan Raya Umum Turki pada tahun 1991 dan berjaya memenangi sebanyak 62 kerusi parlimen. Pada Pilihan Raya Umum Turki pada tahun 1995, Parti Refah berjaya memenangi 158 kerusi dan berjaya membentuk Kerajaan Campuran dengan Prof. Nejmuddin Erbakan dilantik sebagai Perdana Menteri.

Pada Februari 1997, tentera Turki telah mengeluarkan memorandum setelah Majlis Keselamatan Negara Turki bersidang mengumumkan peletakan jawatan Prof. Nejmuddin Erbakan dan berakhirlah pemerintahan kerajaan campuran di bawah Prof. Nejmuddin Erbakan.

Ramai penganalisis politik antarabangsa menggangap tindakan tentera Turki tersebut sebagai satu komplot rampasan kuasa era moden dan berpendapat tindakan tersebut adalah kerana kecenderungan Prof. Nejmuddin Erbakan terhadap agenda politik Islam yang mengancam kuasa tentera dan sekularisme Turki di masa hadapan.

Seterusnya pada tahun 1998, parti Refah diharamkan oleh kerajaan Turki kerana melanggar undang-undang sekular yang menekankan pemisahan agama dan politik, keputusan tersebut disokong oleh Mahkamah Hak Asasi Manusia Kesatuan Eropah pada 13 Februari 2003 walaupun dikritik hebat oleh banyak pihak.

Seterusnya pada tahun 1997, Prof. Nejmuddin Erbakan menubuhkan parti Fadeelat yang berteraskan politik Islam. Namun ia didapati melanggar undang-undang serta didapati penubuhannya tidak sah oleh Mahkamah Turki pada 22 Jun 2001 kerana melanggar undang – undang sekularime Turki dan seterusnya ia diharamkan.

Setelah itu, pada 20 Julai 2001 parti Saadat ditubuhkan oleh almarhum dan rakan-rakannya. Namun selepas itu, sokongan terhadap parti Saadat mula berkurangan kerana selepas pengharaman parti Faadeelat, pecahan daripadanya terbahagi kepada dua di mana sekumpulan pendukung parti Faadelat menubuhkan parti AKP yang memerintah Turki pada hari ini.

Begitulah kisah perjalanan politik Prof. Nejmuddin Erbakan yang panjang di mana sepanjang penglibatan beliau dalam poltik Turki, beliau adalah tokoh yang sangat dihormati dalam arena politik Turki khususnya dan umat Islam umumnya.

Prof. Nejmuddin Erbakan menghembuskan nafas terakhir pada 27 Februari 2011 di Hospital Guven, Ankara, Turki. Jenazah Allahyarham disempurnakan di Masjid Fateh, Istanbul dan dikebumikan di tanah perkuburan Merkezefendi, Istanbul, Turki.

Penduduk Islam Turki mengiringi jenazah beliau sepanjang perjalanan ke tanah perkuburan sejauh empat km di mana lebih daripada 200,000 orang penyokong partinya mahupun pendukung Islam menghadiri pengkebumian tersebut termasuk Recep Tayib Edrogan dan pemimpin-pemimpin Islam Turki.

Agenda penyatuan ummah

Almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan banyak mengetengahkan idea-idea yang jauh ke hadapan dalam menyelesaikan isu-isu umat Islam di seluruh dunia sama ada sudut ekonomi, sosial mahupun politik.

Di luar kerajaan, beliau menubuhkan satu forum yang diberikan nama ESAM bagi mengumpulkan pemimpin-pemimpin gerakan Islam dari seluruh dunia yang bersidang setiap tahun di Turki bagi membincangkan isu-isu semasa Dunia Islam dan penyelesaian-penyelesaian yang perlu diambil bagi mengatasi permasalahan sejagat Dunia dan umat Islam.

Forum yang diasaskan oleh almarhum ini terus bergerak dan dimakmurkan sehingga ke hari ini walaupun beliau telah meninggal dunia kerana manfaat dan sumbangan yang mampu dijana untuk dunia dan umat Islam.

Adapun ketika berada di dalam kerajaan, beliau senantiasa berusaha serta tidak mengenal penat dan lelah bagi mencapai tujuan murninya iaitu untuk kemajuan serta kesejahteraan dunia dan umat Islam.

Ketika menjadi Perdana Menteri Turki selama setahun sebelum digulingkan tentera, beliau menubuhkan D8 iaitu satu platform bagi membina kekuatan Dunia Islam dengan memfokuskan lapan buah negara yang mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri iaitu Turki, Pakistan, Indonesia, Bangladesh, Mesir, Nigeria, Iran dan Malaysia.

Almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan mengutamakan hubungan sesama negara Islam dengan mengadakan kunjungan ke negara-negara Islam di Afrika ketika mula menjawat jawatan Perdana Menteri seperti Mesir, Nigeria dan Libya.

Malah Almarhum juga begitu kuat membela dan memperjuangan nasib rakyat Palestin dengan membangkitkan kesedaran dunia dan umat Islam betapa perlunya untuk memperjuangkan nasib dan kebebasan Palestin dan rakyatnya.

Almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan juga turut mencadangkan penggunaan dinar emas dalam kalangan negara-negara Dunia Islam bagi memperkukuhkan perdagangan di kalangan negara Dunia Islam sekali gus mampu memakmurkan perdagangan di antara negara Dunia Islam yang agak ketinggalan dari segi ekonomi dari negara-negara lain di dunia.

Banyak idea dan cadangan yang diutarakan oleh almarhum semasa hayatnya bertujuan untuk menambah baik dan membantu negara-negara Dunia Islam keluar dari zaman kegelapan dan memakmurkan kembali Islam dan umatnya.

Tidak hairanlah beliau digelar bapa pemodenan Turki era ini mahupun digelar pemangkin kesedaran politik Islam era dunia moden ini oleh banyak pemimpin gerakan Islam di seluruh dunia.

Sesungguhnya kesedaran yang dibangkitkan oleh beliau terhadap penyatuan Islam di kala hidupnya banyak memberikan impak kepada kita mahupun gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia bahawa Islam hanya akan kuat dan kembali menyinar jika seluruh umat Islam bersatu padu dalam mendepani cabaran dunia masakini.

Ramai tokoh politik Islam terkenal dengan penulisan-penulisan yang hebat tetapi amat jarang yang dapat merealisasikannya secara amali khususnya di zaman kelemahan umat Islam saat ini. Almarhum Prof. Nejmuddin Erbakan adalah contoh terbaik bagaimana seorang pemimpin Islam bukan sahaja bijak berteori dan mengetengahkan idea-idea bernas tetapi juga mampu merealisasikannya di lapangan.

Sebagaimana kata Recep Tayib Edrogan, “He set a good example for the young generations as a leader, as a teacher, with his struggle, with his devotion to his cause, and with his principles“.

Semoga Allahyarham Prof. Nejmuddin Erbakan dirahmati, diberkati, diampunkan dosa-dosanya seterusnya ditempatkan bersama-sama orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Malaysia Sejahtera.

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk.

Artikel juga boleh di akses di Harakahdaily.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo