Jualan bersih ekuiti domestik oleh pelabur asing bernilai RM1.24 bilion setakat tahun ini -NSTP/Aswadi Alias
Jualan bersih ekuiti domestik oleh pelabur asing bernilai RM1.24 bilion setakat tahun ini -NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Pelabur asing terus meninggalkan pasaran ekuiti Malaysia dengan merekodkan jualan bersih sebanyak RM556.9 juta minggu lalu, 64 peratus lebih tinggi berbanding jumlah jualan bersih pada minggu berakhir 3 Mac 2023, kata MIDF Research.

Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing melakukan jualan bersih hampir setiap hari dagangan pada minggu urus niaga berkenaan.

"Jualan paling tinggi adalah pada hari Isnin berjumlah RM183.1 juta dan kemudiannya menyederhana kepada RM58.2 juta pada Khamis," katanya dalam laporan aliran dana mingguan, hari ini.

Bagaimanapun, MIDF Research berkata ia meningkat semula pada hari Jumaat, merekodkan aliran keluar bersih berjumlah RM140.1 juta.

Setakat tahun ini, jumlah jualan bersih ekuiti domestik oleh pelabur asing bernilai RM1.24 bilion.

"Sektor yang menyaksikan aliran masuk asing bersih ialah pembinaan (RM67.9 juta), teknologi (RM13.2 juta) serta pengangkutan dan logistik (RM7.8 juta), manakala sektor yang mencatatkan aliran keluar asing bersih ialah perkhidmatan kewangan (-RM359 .5 juta), produk dan perkhidmatan industri (-RM90.3 juta) dan produk dan perkhidmatan pengguna (-RM63.5 juta)," katanya.

Sementara itu, ia berkata institusi tempatan telah membeli ekuiti domestik bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan merekodkan sejumlah RM461.3 juta, kira-kira 56 peratus lebih tinggi daripada jumlah belian mereka pada dua minggu lalu.

"Setiap hari dagangan minggu lalu adalah kegiatan belian bersih oleh institusi tempatan, dengan aliran masuk paling banyak dicatatkan pada Isnin berjumlah RM161.1 juta," katanya.

Setakat tahun ini, firma penyelidikan itu berkata institusi tempatan telah membeli bersih ekuiti domestik bernilai RM1.2 bilion.

"Peruncit tempatan terus menjadi pembeli bersih untuk minggu ketiga berturut-turut membabitkan sejumlah RM95.6 juta dan setiap hari dagangan adalah hari belian bersih oleh mereka, kecuali Selasa dengan aliran keluar bersih RM4.4 juta," katanya.

Setakat tahun ini, MIDF Research berkata peruncit tempatan merupakan pembeli bersih dengan mencatatkan RM44.5 juta.

Dari segi penyertaan, ia menambah terdapat penurunan dalam purata jumlah dagangan harian dalam kalangan peruncit tempatan (-3.5 peratus), institusi tempatan (-14.7 peratus) dan pelabur asing (-33.1 peratus).

-BERNAMA