BUTTERWORTH: Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan ramalan Perikatan Nasional (PN) mampu memenangi 14 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) itu seperti mimpi di siang hari.
“Ramai orang bermimpi termasuk mimpi di siang hari. Eloklah kalau masa matahari tengah panas, mimpi terulit apabila tidurnya terlalu nyenyak…,” katanya.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya mengenai ramalan kemungkinan PN Pulau Pinang mampu memenangi 14 daripada 15 kerusi majoriti Melayu pada PRN negeri itu kelak.
Ramalan itu berdasarkan trend pengundian pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) yang mana data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN memenangi sokongan terbesar pengundi kali pertama manakala undi terhadap Pakatan Harapan (PH) pula menyusut berbanding PRU-14.
Malah, sebuah portal berita yang memetik sumber dalaman PN Pulau Pinang turut melaporkan, pakatan itu menyasarkan untuk menambah 10 lagi kerusi DUN pada PRN itu kelak berbanding lima yang dimiliki ketika ini.
Meskipun 15 kerusi DUN itu masih gagal untuk membentuk kerajaan negeri, namun PN meletakkan sasaran untuk menafikan majoriti dua pertiga PH pada PRN itu kelak.
Ketika ini, daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang, 35 daripadanya adalah milik Kerajaan Perpaduan (33 PH, 2 Barisan Nasional (BN) manakala lima lagi milik PN (4 Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), satu Pas).
Bagaimanapun, empat kerusi DUN Bersatu ketika ini sudah dikosongkan selepas usul pengosongan kerusi berkenaan selaras dengan akta lompat parti yang diluluskan sidang DUN awal bulan ini.
DUN Pulau Pinang dijangka dibubarkan Jun ini bagi membolehkan PRN diadakan antara Julai hingga Ogos ini selepas negeri ini tidak membubarkan DUN serentak dengan Parlimen bagi membolehkan PRN diadakan serentak dengan PRU-15.
Turut akan membubarkan DUN masing-masing bagi membolehkan PRN dijalankan secara serentak ialah Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan; Terengganu dan Kedah. – UTUSAN
No comments
Post a Comment