KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan digesa supaya menarik balik keputusan memansuhkan pelepasan cukai individu kepada ke atas Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).
Timbalan Bendahari Agung MCA, Datuk Lawrence Low berkata, tindakan berkenaan bercanggah dengan niat untuk menggalakkan orang ramai menyimpan wang khususnya untuk pendidikan.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan sepatutnya meningkatkan pelepasan cukai untuk mendorong orang ramai menyimpan terutama dalam keadaan ekonomi global dan domestik yang tidak stabil.
“Malah saya juga melihat alasan yang diberikan oleh YB Steven Sim (Timbalan Menteri Kewangan) berhubung perkara ini amatlah tidak meyakinkan.
“Jika diperhatikan, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) juga menghadapi tekanan kewangan pada masa ini. Justeru dengan memberi galakan kepada orang ramai supaya menabung demi masa depan anak-anak mereka juga pastinya akan dapat membantu meringankan tekanan PTPTN dalam menyediakan kemudahan pinjaman pendidikan seterusnya membantu kerajaan dalam mengurangkan tekanan kewangan,” katanya menerusi kenyataan.
Semalam, Steven mengumumkan bermula tahun ini, pembayar cukai yang mencarum dalam SSPN tidak lagi layak menuntut pelepasan cukai individu sehingga RM8,000.
Ujarnya keputusan berkenaan dibuat atas pelbagai sebab termasuklah tambahan senarai pelepasan cukai dan potongan cukai individu termasuk pengurangan sebanyak dua peratus ke atas cukai pendapatan individu, pelepasan cukai perbelanjaan perubatan yang ditingkatkan dari RM8,000 ke RM10,000 dan pelepasan yang lain.
Menurut Lawrence, kerajaan sepatutnya membela nasib rakyat khususnya pada ketika ekonomi tidak menentu.
“Orang ramai pastinya menaruh harapan yang tinggi kepada kerajaan Malaysia Madani yang dapat membela nasib rakyat disaat memerlukan dan ketika rakyat hampir ‘lemas’ pada ketika ini,” katanya lagi.
Malah tambah beliau, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Dr Mohd Nizom Sairi turut mengakui bahawa rakyat turut meminta supaya pelepasan berkenaan dikaji semula.
“Memetik laporan media, ketika ditanya kemungkinan pencarum berhenti mencarum susulan perkembangan itu, beliau berkata, pihaknya akan menyampaikan pandangan orang ramai kepada kerajaan bagi memastikan dasar berkenaan selari dengan keperluan rakyat.
Menurutnya lagi, cadangan untuk mengkaji semula keputusan menghentikan insentif berkenaan adalah di pihak rakyat,” tambahnya.
Berdasarkan portal rasmi SSPN, insentif pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas Simpanan SSPN bagi tahun 2023 tidak diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2023, 24 Februari lalu.- MalaysiaGazette
No comments
Post a Comment