Kemenangan Datuk Rais Yasin sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti itu 18 Mac lalu, dibatalkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 hari ini. - Gambar fail/BERNAMA |
MELAKA: Kemenangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin sebagai Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu pada pemilihan parti itu 18 Mac lalu, dibatalkan Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 hari ini.
Setiausaha UMNO Bahagian Tangga Batu Datuk Abdul Latip Mohamad berkata beliau menerima pemakluman itu menerusi satu surat daripada UMNO pusat menerusi aplikasi WhatsApp pada 2.26 petang tadi.
Beliau berkata surat berkenaan memaklumkan berlakunya ketidakaturan perjalanan mesyuarat pada proses pemilihan UMNO bahagian itu yang berlangsung di sebuah hotel baru-baru ini.
"Surat itu memaklumkan setelah penelitian dibuat terhadap pemilihan berkenaan, Jawatankuasa Bantahan Pemilihan UMNO Malaysia 2023 membuat keputusan dan ketetapan bahawa pemilihan bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu adalah tidak sah.
"Sehubungan itu, UMNO bahagian Tangga Batu perlu membuat pemilihan semula bagi jawatan Ketua UMNO Bahagian sahaja," katanya ketika dihubungi di sini.
Pada pemilihan berkenaan, Rais menewaskan penyandang, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad dengan hanya empat undi selepas memperoleh 282 undi berbanding Mohamad Ali dengan 278 undi.
Rais turut dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka oleh Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment