NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan tolak Akta Laut Wilayah sejak 2015 lagi - MB

story-image

Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) sejak 2015 lagi.

Justeru, katanya, kerajaan persekutuan perlu menjelaskan tuntutan bayaran tunai petroleum secara terus kepada kerajaan negeri demi kepentingan rakyat.

"Persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 5 November 2015 telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750) atas asas mendapati kerajaan persekutuan mengambil peluang dengan menghadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika sekaligus menafikan hak Kelantan menerima bayaran tunai petroleum.

"Perjanjian kerajaan Kelantan dan Petronas pada 9 Mei 1975 dalam fasal 1(1) jelas menyatakan Petronas hendaklah membayar wang tunai kepada kerajaan negeri secara bayaran tahunan sebanyak yang setara dengan jumlah 5 peratus dan nilai petroleum yang didapati dan diperolehi di Kelantan.

Dia turut menyatakan rasa kesal dengan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman di Dewan Rakyat mengenai syarat mendapatkan bayaran tunai petroleum iaitu berada dalam perairan tiga batu nautika dan penyaluran adalah di atas nama wang ehsan.

Pada 24 Feb Azalina berkata bahawa Kelantan dan Terengganu tidak layak menerima hasil petroleum sebanyak 5 peratus.

Menurutnya, Akta Laut Wilayah 2012 menetapkan bahawa negeri hanya boleh menuntut hak sehingga tiga batu nautika.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan persekutuan telah menyalurkan wang ehsan ke negeri-negeri yang berhampiran dengan kawasan penggalian petroleum, termasuk Kelantan dan Terengganu, untuk projek yang memberi manfaat kepada rakyat.

Namun, Ahmad menekankan bahawa kerajaan persekutuan perlu membuat bayaran tunai petroleum terus kepada kerajaan negeri dan bukannya sebagai wang ehsan.

"Minit mesyuarat Majlis Kewangan Negara yang bersidang pada 7 Jun 2018 menyatakan bahawa ‘memansuhkan program wang ehsan dan bayaran tunal petroleum akan disalurkan secara terus kepada Kelantan dan Terengganu tanpa mengambil kira status negeri tersebut ditadbir pembangkang’,” katanya.

Tambahnya, pada masa yang sama, kerajaan negeri telah mengambil pelbagai langkah dan usaha dalam menuntut bayaran tunai petroleum melalui enam siri rundingan yang telah diadakan antara menteri besar Kelantan dengan perdana menteri bermula tahun 2013 hingga tahun 2021, termasuk pertemuan dengan pengurusan tertinggi Petronas pada 10 Julai 2020.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) Mohammad Agus Yusoff membidas sikap ahli parlimen pembangkang yang mendakwa negeri-negeri Melayu seperti Kelantan dan Terengganu diketepikan dalam isu royalti petroleum.

Sedangkan menurutnya perkara itu tidak berbangkit ketika PN menjadi kerajaan dan ahli parlimen PAS sendiri, iaitu Takiyuddin Hassan menjadi menteri undang-undang.

"Waktu itu menteri undang-undang adalah Takiyuddin Hassan, namun Akta Wilayah Laut 2012 tidak dibawa ke Parlimen untuk dimansuhkan dan bayaran royalti kepada Kelantan dan Terengganu juga tidak dilaksanakan.

"Menariknya, kerajaan negeri tidak bising dan tidak juga menimbulkan soal mendiskriminasikan orang Melayu, kerana pada waktu itu mereka berada dalam kerajaan," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo