NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jangan anak tirikan graduan TVET

Sudah tiba masanya isu pengiktirafan yang tidak seragam dalam perkhidmatan kerajaan diselesaikan bagi membela nasib graduan lulusan kemahiran.


SHAH ALAM - Isu penggajian graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang tidak setara apabila menyertai sektor perkhidmatan awam bukanlah satu isu baharu tetapi sudah berlarutan sejak sekian lama.

Jika difikirkan semula golongan berkenaan mempunyai kelayakan sama seperti graduan universiti tetapi malangnya gaji yang ditawarkan jauh lebih rendah daripada kelayakan mereka.

Tindakan sektor berkenaan dalam memberi gaji yang berbeza seolah-olah ‘menganaktirikan’ graduan TVET.

Perbezaan tangga gaji tidak sepatutnya berlaku kerana kedua-dua institusi itu menawarkan pendidikan dan pembelajaran yang sama dan perkara yang membezakan hanyalah ‘nama’ tempat pengajian.

Permasalahan itu telah menimbulkan tanda tanya dan secara tidak langsung membangkitkan perdebatan tentang pengiktirafan sijil graduan TVET dalam sektor awam.

Kebenaran di sebalik penderitaan yang dialami oleh golongan itu telah didedahkan oleh Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT) menerusia laporan muka depan Sinar Harian pada Isnin.

MBOT mendakwa graduan diploma TVET tidak menerima pengiktirafan sewajarnya dari segi jawatan dan gaji yang setara dalam perkhidmatan awam.

Jelas MBOT, pihaknya telah berhubung rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi memastikan pemegang diploma dan ijazah dalam bidang berkenaan mendapat pengiktirafan yang sewajarnya, khususnya dalam sektor awam.

Pada masa sama, golongan itu juga bukan sahaja berhadapan dengan pembayaran gaji yang tidak setara tetapi mereka juga dibayar dengan begitu rendah.

Pada 8 Januari lalu, Sinar Harian melaporkan Pertubuhan Kebangsaan Pekerja (PKPB) menggesa kerajaan untuk membuat ketetapan gaji minimum kepada belia yang memegang kelayakan TVET.

Setiausaha Agung PKPB, Mohammad Rizan Hassan berkata, golongan tersebut merupakan pekerja daripada kumpulan yang sering terpinggir dalam masyarakat seperti pekerja muda dan wanita.

Justeru, kerajaan wajar mengkaji semula kadar gaji bagi graduan TVET untuk mengelakkan anak muda tidak mahu menyambung pengajian dalam bidang berkenaan dan jika tidak diselesaikan dengan segera, maka tidak mustahil ramai jurutera dan graduan bidang tersebut mahu berhijrah ke luar negara.


Sumber I Sinar Harian







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo