Gambar tular menunjukkan makanan hangit serta karipap tanpa inti antara dibeli pelanggan di beberapa bazar Ramadan. |
GEORGE TOWN – Haram hukumnya bagi seseorang peniaga menjual sesuatu makanan yang tidak berkualiti termasuk hangit serta basi.
Demikian jelas Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor ketika diminta mengulas dakwaan tular makanan di beberapa bazar Ramadan dilaporkan hangit, basi serta tidak sepadan dengan harga jualan sejak Khamis lalu.
Menurut Wan Salim, peniaga yang menjual makanan sedemikian bukan sahaja terpalit dalam penipuan transaksi jual beli malah ia termasuk dalam pengertian memakan harta orang secara salah.
“Ada juga hadis yang bermaksud sesiapa yang menipu barang-barang jualannya maka dia bukan umat kami.
“Jadi saya menyeru para peniaga supaya bertimbang rasa terhadap pembeli dan janganlah mengambil kesempatan daripada keperluan orang ramai terutamanya makanan untuk dimakan ketika berbuka puasa.
“Selain itu, bulan Ramadan adalah peluang keemasan bagi para peniaga mencari pahala daripada Allah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, Islam adalah agama rahmat yang membawa misi kasih sayang dan menyeru kepada persaudaraan antara umat Islam dan sesama manusia.
“Dalam sebuah hadis riwayat Bukhari, Rasulullah bersabda yang bermaksud ‘Allah merahmati seseorang yang bertolak ansur dalam jual beli’.
“Malah, sikap sedemikian termasuk dalam pengertian ‘ihsan’ yang menjadi salah satu tonggak Negara Madani yang dijadikan slogan terbaru oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” kata beliau.
Sejak Khamis lalu tular masih terdapat segelintir peniaga di bazar Ramadan tidak menitikberatkan tentang kualiti makanan yang dijual.
Ia termasuk perkongsian di media sosial menunjukkan popia yang telah rosak, karipap tanpa inti, martabak serta roti john hangit antara dibeli pelanggan di beberapa bazar Ramadan. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment