NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Bossku’ masih kuasa perlu dipertimbangkan, kata KJ

Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020, selepas disabit bersalah atas tujuh pertuduhan. (Gambar Facebook)


PETALING JAYA: Bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menegaskan pengaruh Najib Razak “belum selesai” dalam Umno, dengan ramai “penyokong tegar” bekas perdana menteri yang dipenjarakan itu baru dipilih menganggotai Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Walaupun Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi masih mengawal parti itu, katanya, “suara di sebalik jeriji besi” itu masih memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan Umno.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa dalam kalangan 25 ahli MKT Umno baru dipilih yang merupakan penyokong kuat Najib ialah Ketua Umno Kelantan, Ahmad Jazlan Yaakub, bekas Ahli Parlimen Baling, Abdul Azeez Abdul Rahim dan Lokman Noor Adam.

Khairy, yang dipecat Umno Januari lalu, turut menamakan Ketua Penerangan Umno, Isham Jalil yang merupakan bekas pegawai khas Najib, dan Johan Abdul Aziz, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Hulu Langat pada PRU15, sebagai penyokong Najib dalam MKT.

“Saya rasa cerita Bossku (Najib) belum selesai. Bossku belum selesai,” kata Khairy dalam podcast “Keluar Sekejap” bersama bekas ketua penerangan Umno, Shahril Hamdan.

“Pandangan saya…dan pendengar juga tahu pandangan (kritikan) saya terhadap Bossku selepas kami (BN) kalah (PRU14) pada 2018…Tetapi, saya katakan Bossku adalah satu kuasa yang perlu dipertimbangkan.

“Kalau kita lihat, ada cap jari Bossku dalam senarai pemenang (MKT). Bukan Zahid sangat yang mempengaruhi Umno, tetapi Zahid dan Bossku…Jadi, sebab itu saya kata cerita Bossku belum selesai.”

Najib dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020, selepas disabitkan dengan tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pengubahan wang dan pecah amanah berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Sabitan itu dikekalkan Mahkamah Rayuan pada Disember 2021 dan disahkan Mahkamah Persekutuan Ogos lalu. Beliau kini menjalani hukuman di Penjara Kajang.

Pun begitu, Khairy berkata, Najib kekal sebagai tokoh masyarakat popular kerana ucapan terima kasih mencurah-curah kepada bekas perdana menteri itu minggu lalu apabila laluan MRT Putrajaya – yang dicadangkan Najib ketika beliau memerintah – dilancarkan sepenuhnya.



Sumber I FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo