BERIKUT merupakan terjemahan dan olahan bahasa (untuk memudahkan kefahaman) berkaitan persoalan hukum seseorang yang berpuasa tetapi meninggalkan solat oleh Al Marhum Dr. Yusuf Al Qaradawi. Semoga ia dapat merungkai persoalan dan membantu untuk meneruskan kerja dakwah menyeru orang kepada Islam dengan lebih berkesan.
Permasalahan:
Satu kepelikan yang berlaku hari ini, apabila ada dalam kalangan umat Islam yang bersungguh menjalankan ibadah puasa di bulan Ramadan tetapi malangnya meninggalkan ibadah solat. Ramadan memiliki kemuliaan dan kedudukan yang tinggi dalam kalangan manusia yang diwarisi sejak dahulu, tidak akan ada yang meremehkannya kecuali dalam kalangan mereka yang berniat jahat. Boleh jadi, memang dia bukan orang Islam.
Tidak dinafikan lagi bahawa dalam neraca agama, solat menjadi kewajipan terpenting berbanding puasa. Ia merupakan ibadah utama dan tiang Islam, juga sebagai pembeza di antara seorang Muslim dan kafir. Tetapi disebabkan kejahilan dan kealpaan, ditambah dengan kecintaan pada dunia menjadikan sebahagian umat Islam lupa akan kepentingan dan kedudukan solat di sisi Islam. Bahkan menjadi satu kekhuatiran, kalaulah ada dalam kalangan mereka yang menghabiskan usianya tanpa sehari pun rukuk (solat) menyembah Allah!
Persoalan:
Sebenarnya, soalan ini berulang kali ditanya setiap kali tibanya bulan Ramadan, apa hukum bagi seseorang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat?
Jawapan:
Adapun dalam kalangan yang berpandangan dengan mengatakan:
Sesungguhnya seseorang yang meninggalkan solat dihukumkan sebagai kafir, sebagaimana menurut zahir sebahagian Hadis, yang diriwayatkan oleh sebahagian para Sahabat R.A dan para Fuqaha`, seumpama Imam Ahmad bin Hanbal, Ishaq bin Rahawiah dan lain-lain memberi fatwa yang jelas, iaitu berpandangan puasanya juga turut batal.
Ini kerana dia telah menjadi kufur dengan meninggalkan solat, adapun puasa pula tidak akan diterima dalam kalangan orang kafir.
Adapun bagi kalangan yang mengikuti pandangan jumhur fuqaha` daripada Salaf dan Khalaf bahawa seseorang yang meninggalkan solat dihukumkan sebagai fasiq bukan kafir. Sesungguhnya Allah tidak akan mensia-siakan amalan seseorang yang melakukan amal (ibadah), sesekali tidak untuk Allah melakukan kezaliman walau sebesar zarah:
“Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya).
“Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!”
(Az-Zalzalah: 7-8)
Jumhur berpendapat bahawa seseorang yang berpuasa tetapi meninggalkan solat, diberikan pahala terhadap puasanya. Adapun dosa meninggalkan kewajipan (solat) tidak menafikan pahalanya dengan melakukan ibadah yang lain.
Allah berfirman Al Anbiya` ayat 47 yang bermaksud:
“Dan (ingatlah) Kami akan mengadakan neraca timbangan yang adil untuk (menimbang amal makhluk-makhluk pada) hari kiamat; maka tidak ada diri sesiapa akan teraniaya sedikitpun; dan jika (amalnya) itu seberat biji sawi (sekalipun), nescaya Kami akan mendatangkannya (untuk ditimbang dan dihitung); dan cukuplah Kami sebagai Penghitung.”
Renungan:
Apabila melihat dari aspek praktikal dan pendidikan (usaha dakwah), apa faedahnya untuk kita mengatakan kepada orang yang berpuasa tetapi tidak menunaikan solat, maka sia-sia sahaja puasanya dan tidak akan beroleh pahala?
Boleh jadi, pendekatan sebegini hanya akan membawa kepada seseorang yang tidak menunaikan solat untuk meninggalkan pula puasanya. Dengan berbuat demikian kita telah memutuskan satu lagi ikatan yang boleh menghubungkannya dengan agama melalui kewajipan dan ibadah, barangkali dengan sebab ini (menimbulkan isu puasa tetapi tidak solat) boleh menjadi punca untuk seseorang menjadi semakin jauh terus dari agama!
Adalah lebih baik dan bermanfaat untuk kita menyebutkan begini:
Semoga Allah berikan ganjaran kebaikan atas ibadah puasamu. Hendaklah engkau menyempurnakan keislamanmu dengan apa yang jauh lebih utama dari puasa iaitulah solat. Engkau telah berlapar dan dahaga lalu engkau mengharamkan dirimu untuk mendapatkan keredhaan Allah? Apakah yang menjadikan engkau bermalas-malasan untuk menyusun kedua kakimu bersama menunaikan solat, rukuk untuk menggapai redha Allah?
Kesimpulan:
Sesungguhnya, mengekalkan tali ini (dengan berpuasa) untuk mengikat diri seseorang dengan Islam walaupun hanya sebulan sahaja dalam setahun lebih baik berbanding kita memutuskannya tanpa memberi jalan keluar. Adapun si buta sebelah mata itu lebih baik (masih mampu melihat) berbanding seseorang yang buta kedua belah matanya.
Terjemahan dan olahan bahasa.
USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM)
Rujukan https://www.al-qaradawi.net/node/3751
Rujukan asal Fiqh Puasa Dr. Yusuf Al Qaradawi
No comments
Post a Comment