NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Banjir surut dalam tempoh 2 minggu atau sebulan di Batu Pahat, kata exco

Kebanyakan tempat di kawasan Parit Sulong, Batu Pahat masih ditenggelami air banjir berikutan hujan berterusan minggu lalu. – Gambar Facebook Bomba Johor, 11 Mac, 2023.


BANJIR di daerah Batu Pahat dijangkakan surut dalam tempoh dua minggu atau sebulan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor K Raven Kumar.

Beliau berkata perkara tersebut bergantung kepada keadaan cuaca dan tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor yang telah menempatkan pam air di beberapa lokasi sekitar Batu Pahat sejak beberapa hari lepas.

“Ujian yang kita hadapi sejak 1 Mac lepas ialah air banjir tinggi dan kini air sedang mengalir keluar…kita menjangkakan dua minggu atau sebulan akan surut kerana keadaan air banjir termenung, jadi kita kena pam keluar (air).

“Sebanyak 21 pam lagi akan dibawa dari semua negeri ke Batu Pahat, tetapi (untuk memasang) pam air ini kita mesti melihat air sungai tidak melepasi paras tebing,” katanya kepada Bernama selepas meninjau operasi pam air tambahan yang dipasang di Pintu Air Kuala Senggarang di Batu Pahat hari ini.

Menurutnya situasi banjir di Johor seperti di Segamat menujukkan penurunan bilangan mangsa, namun di daerah Batu Pahat menyaksikan trend yang statik dan peningkatan susulan air banjir termenung serta air melimpah ke kawasan rendah.

Raven Kumar berkata beberapa lokasi di Johor yang sebelum ini mengalami banjir seperti di Segamat sudah memasuki fasa pascabanjir dan kerja pembersihan sudah dilakukan dengan kerjasama pihak berkuasa dan badan bukan kerajaan.

Sementara itu, Pengarah JPS Johor Azren Khalil berkata 46 pam bergerak dengan kapasiti pam lima hingga 20 cusec (kaki persegi sesaat) dipasang di tujuh daerah di negeri itu sejak beberapa hari lepas.

Menurutnya 14 pam dipasang di Tangkak, Batu Pahat (12), masing-masing enam di Johor Bahru dan Pontian, Mersing (empat), Muar (tiga) dan satu di Kota Tinggi.

“Pam air ini dipasang untuk menyokong pintu air bagi mempercepatkan aliran air banjir ke laut atau sungai utama,” katanya.

Setakat 4 petang tadi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan jumlah mangsa banjir di Johor merekodkan 43,793 orang dengan Batu Pahat mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 39,919 orang. – Bernama, 11 Mac, 2023.



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo