MUAR: Hancur luluh hati ibu apabila keempat-empat anaknya yang ditinggalkan seketika terkorban dalam tragedi kebakaran di rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisional Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata dalam kejadian kira-kira jam 7.49 malam mangsa, Puteri Aisyah Tenko To, 8; Mohd Hakim, 6; Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3, ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik air bahagian dapur kediaman mereka.
Menurut Raiz Mukhliz, ketika kejadian, ibu mangsa berusia 31 tahun terpaksa keluar sebentar untuk ke kedai berhampiran manakala bapanya yang berusia 30 tahun sedang bekerja di sebuah restoran di sekitar bandar, di sini.
"Maklumat awal oleh ibu mangsa mengatakan keempat-empat anaknya ditinggalkan sementara di rumah dalam keadaan pintu bahagian dapur tidak berkunci.
"Bagaimanapun, kita percaya keadaan api marak menyebabkan empat beradik ini gagal mencari jalan keluar sebelum kesemua mayat ditemui di dalam tandas dipercayai bagi tujuan menyelamatkan diri," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di Kampung Sabak Awor, Jalan Ismail, di sini, malam tadi.
Beliau berkata, ibu mangsa yang baru keluar 10 minit dan mengetahui mengenai kebakaran itu selepas dihubungi jiran.
"Kebakaran dipercayai berpunca akibat litar pintas, namun ia masih dalam siasatan lanjut pihak Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM). Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan setakat ini kes disiasat sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Yang turut hadir dalam operasi berkenaan, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Ahmad Izram Osman.
Terdahulu, 20 anggota dari BBP Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran membabitkan rumah jenis separuh kekal berkeluasan 16 meter x 12 meter.
Raiz Mukhliz berkata, bomba mengambil masa lima minit bagi mengawal kebakaran yang merebak sehingga 70 peratus.
"Pemadaman berjaya dilakukan beberapa minit kemudian dengan kemusnahan sebanyak 80 peratus.
"Setelah api padam sepenuhnya pihak bomba bertindak membuat pencarian mangsa sebelum menemukan dua kanak-kanak perempuan dua kanak-kanak lelaki," katanya.
Sumber | BH Online
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment