KUALA TERENGGANU: Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) merampas sebanyak 544 jenis produk kosmetik dan ubat-ubatan tidak berdaftar bernilai RM954,727 sepanjang tahun lepas.
Pengarahnya Datuk Dr Kasemani Embong berkata rampasan menerusi 121 siri serbuan oleh Cawangan Penguatkuasaan, Bahagian Farmasi JKNT, itu dilakukan hasil aduan orang awam dan risikan melibatkan premis perniagaan, kenderaan dan rumah yang dijadikan pusat jualan atau tempat simpanan barang.
"Bagaimanapun jumlah itu turun berbanding tempoh 2019 hingga 2020 yang merekodkan rampasan 1,231 jenis produk dengan nilai RM1.19 juta.
"Produk paling banyak dirampas ialah ubat-ubatan termasuk pil pelangsingan badan dan ubat perangsang seks," katanya selepas merasmikan Program Gerak Gempur Cakna Ubat Tahun 2023 di sini, hari ini.
Dr Kasemani berkata JKNT juga telah mengeluarkan denda sebanyak RM282,450 di bawah Akta Jualan Dadah 1952, Akta Racun 1952 (Pindaan) 2022 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1956 bagi tempoh 2021 hingga 2022.
Menurut beliau selain aduan orang ramai, pihaknya juga mempunyai pasukan khas yang memantau aktiviti jualan dan pengiklanan produk kosmetik serta ubat-ubatan yang tidak berdaftar secara dalam talian.
"Di JKNT, kita mempunyai 23 petugas termasuk pegawai dan kakitangan yang bertanggungjawab dalam aktiviti penguatkuasaan farmasi. Dengan kekuatan ini, kita mampu menjalankan antara lima hingga enam serbuan sebulan," katanya.
Dalam pada itu Dr Kasemani menasihati orang awam supaya memeriksa status ubat-ubatan dengan KKM sebelum membeli bagi tujuan keselamatan.
"Pengguna boleh menyemak status pendaftaran produk melalui laman sesawang KKM atau muat turun aplikasi FarmaChecker daripada Google Playstore atau App Store bagi memeriksa ketulenan sesuatu produk ubat dengan cepat dan tepat," katanya.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment