KUCHING: Cadangan untuk mendirikan tiang bendera tertinggi di Malaysia dengan kos RM30 juta mencetus perdebatan di antara Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan DAP.
Ketika menjelaskan projek itu, Abdul Karim berkata, ia akan dibiayai oleh sebuah syarikat swasta sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka sempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Sarawak.
Katanya, cadangan pembinaan tiang bendera tertinggi itu adalah usaha yang seharusnya dihargai, bukan dijadikan isu demi kepentingan politik.
"Mercu tanda seperti ini seharusnya menjadi kebanggaan kita dan tarikan pelancong," katanya dipetik sebuah akhbar tempatan, Utusan Borneo.
Abdul Karim berkata, pemimpin parti politik tidak seharusnya mempersoalkan pembinaan tiang bendera itu, terutama berkaitan kos yang tinggi.
"Kos yang tinggi diperlukan kerana tiang bendera itu harus mempunyai struktur yang kukuh bagi menampung bendera yang besar dan berat," katanya.
Ketika mengulas isu itu dalam kenyataannya semalam, Dr Yii mempersoalkan pembinaan tiang itu ketika banyak lagi keperluan rakyat harus diberi perhatian.
"Ini jelas satu keutamaan yang salah dan obsesi imej berbanding pengisian. Kerajaan Sarawak perlu menunjukkan ketelusan dan kebertanggungjawaban berhubung kos projek itu," katanya.
Beliau turut membandingkan tiang bendera tertinggi di dunia di Jeddah, Arab Saudi setinggi 171 meter yang didirikan dengan kos kira-kira RM21 juta.
"Amat penting untuk kerajaan bersikap telus dalam soal ini, termasuk menjustifikasikan kos projek, yang dikatakan berjumlah RM30 juta dengan ketinggian 99 meter," katanya.
Sementara itu, Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan, Sabtu lalu, memaklumkan projek pembinaan tiang bendera tertinggi akan dibiayai oleh sektor swasta.
Menurut kenyataan itu, projek terbabit merangkumi pembinaan tapak yang ditetapkan dan ia tiada kaitan dengan isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
"Projek ini akan menjadi satu infrastruktur pelancongan di Kuching dan untuk menunjukkan kesetiaan kepada Sarawak.
"Diharap, ia akan menjadi aspirasi kepada semua rakyat Sarawak untuk berkhidmat kepada Sarawak," kata kenyataan itu.
No comments
Post a Comment