PETALING JAYA, 6 Feb (Bernama) -- Semua pihak digesa memberi ruang kepada badan penguatkuasaan dan perundangan negara untuk melaksanakan tugas mereka dalam usaha membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ia bagi memastikan badan penguatkuasaan ini mampu bertindak dengan tegas dan menyempurnakan tugas mereka dengan baik sekali gus menyelamatkan negara daripada perbuatan keji itu.
“Negara ini di ambang kerosakan kerana keterlanjuran dan rasuah sudah menjadi sebahagian daripada sistem yang tak mudah dirungkai.
Percayalah setelah beberapa bulan dalam kerajaan, saya yakin masalah ini memang rumit serta sukar dirungkai dan oleh itu pemimpin politik janganlah guna alasan agama dan alasan kaum untuk mempertikai tindakan membanteras rasuah,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Pimpinan PKR di sini hari ini.
Anwar berkata beliau membuat seruan itu kerana melihat ada pihak yang menggunakan alasan agama yang remeh untuk mempertahankan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Justeru beliau menegaskan bahawa tiada mana-mana agama yang boleh digunakan untuk mempertahankan perbuatan kotor itu termasuk Islam.
“Apa lagi Islam yang tegas menolak penyalahgunaan kuasa dan fasad dalam sistem yang berpunca daripada rasuah yang bermaharajalela dalam negara ini,” katanya.
Menyentuh mengenai pembekuan beberapa akaun milik parti Bersatu, Anwar berkata ia dilakukan kerana melibatkan jumlah yang besar dan dikaitkan dengan beberapa keputusan kerajaan yang dibuat semasa Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri.
“Sepatutnya mereka bersiap untuk beri penjelasan di mana yang perlu dan jangan ganggu badan penguatkuasaan sama ada PDRM (Polis Diraja Malaysia), LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri) atau SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan kemudiannya andai kata ada pendakwaan biar badan kehakiman betindak secara bebas.
“Kalau bersih tidak usah rasa takut. Semua uar-uar kita ini parti yang bersih yang mahu wujudkan kerajaan bersih, jadi sepatutnya kita sokong semua. Bagaimana harus kita bersihkan (rasuah) kalau tidak kita beri wewenang dan kuasa yang lebih kepada badan penguatkuasaan untuk menjalankan dan menyempurnakan tugas mereka,” katanya.
Rabu lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengesahkan pihaknya telah membekukan beberapa akaun bank milik Bersatu bagi tujuan membantu siasatan.
Beliau berkata siasatan sedang dijalankan mengikut Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram.
Pada 6 Dis lepas, Azam berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung isu dana RM600 bilion yang didakwa diseleweng kerajaan terdahulu.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment