Jumlah itu melibatkan 19 ladang di daerah Seberang Perai Selatan (SPS), enam di Seberang Perai Utara (SPU), tiga di Barat Daya dan dua di Seberang Perai Tengah (SPT) dengan populasi babi yang dijangkiti adalah sebanyak 68,659 ekor.
Pengarah JPV negeri, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab berkata, pihaknya menjalankan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi di ladang positif atau disyaki terjangkit dalam zon jangkitan dengan berpandukan Protokol Veterinar Malaysia (PVM) bagi penyakit ASF.
Menurutnya, polisi tersebut bertujuan menghapuskan virus supaya pengusahanya dapat menternak semula dengan selamat dan bebas daripada penyakit ASF sekali gus menjamin bekalan yang mencukupi dalam negara.
“Pemusnahan babi ini telah dijalankan bermula 5 Januari lalu selepas kes pertama ASF dikesan dengan kadar kematian yang tinggi iaitu mencecah 37 peratus atau lebih kurang 60 ekor sehari daripada populasi 1,200 ekor babi di ladang.
“Di Pulau Pinang, pemusnahan babi dari ladang-ladang dengan kematian yang tinggi sehingga melebihi 30 peratus ini telah selesai dijalankan dan kadar perebakan penyakit juga dilihat semakin perlahan.
“Penemuan karkas babi dengan tanda-tanda klinikal seperti penyakit ASF di rumah sembelih telah berkurangan atau tiada aduan kematian babi yang tinggi di ladang,” katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Jelas Saira Banu lagi, sehingga hari ini, sebanyak 14,385 ekor babi telah dilupuskan daripada 16 ladang positif.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, bekalan daging babi di seluruh Pulau Pinang dianggarkan mencukupi dengan Kadar Sara Diri (SSL) melebihi 100 peratus memandangkan masih terdapat 94 ladang dengan populasi sekitar 198,586 ekor babi masih negatif ASF.
Justeru tambahnya, orang awam dinasihatkan agar tidak berasa cemas dengan penularan penyakit ASF memandangkan ini bukanlah penyakit zoonotik yang berjangkit kepada manusia sebaliknya hanya menjangkiti ternakan babi atau babi hutan. – KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment