Dua gempa kuat yang melanda selatan Turkiye dan Syria menyebabkan lebih 1,300 penduduk maut dan ribuan lagi cedera. (Gambar AP) |
KUALA LUMPUR: Persatuan Pelajar Malaysia di Turkiye (MASAT) mengesahkan tidak menerima laporan pelajar Malaysia terkesan akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang menggegarkan selatan negara itu pagi tadi.
Menurut pelajar tahun ketiga di Universiti Istanbul itu, dua pelajar Malaysia yang menuntut di sebuah universiti di Gaziantep disahkan selamat.
“Kami juga ada membuat semakan dengan pelajar tahfiz (warga Malaysia) di sana dan dilaporkan ada asrama mereka yang ranap disebabkan gempa bumi dan ada dalam kalangan rakan mereka dari negara lain yang syahid.
“Namun, Alhamdulillah setakat ini tiada pelajar tahfiz Malaysia yang terkesan dan dilaporkan mereka berlindung di masjid buat sementara waktu,” katanya.
Adib yang menuntut dalam jurusan Pengajian Islam (Uluslararası Ilahiyat) berkata, terdapat kira-kira 200 pelajar Malaysia di Turkiye dengan 168 daripadanya pelajar universiti yang berdaftar dengan persatuan itu, manakala selebihnya pelajar tahfiz atau sekolah tinggi.
“Untuk situasi ini, Kedutaan Malaysia di Ankara dan Konsulat Jeneral di Istanbul menerima makluman lokasi pelajar berkenaan dan diberikan nombor telefon pelajar di sana, sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan.”
Beliau menasihatkan pelajar Malaysia di negara itu segera memaklumkan MASAT sekiranya terlibat dalam sebarang kecemasan dan mendaftar di bawah persatuan untuk keselamatan mereka.
Menceritakan situasi ketika gempa berlaku, Adib berkata, beliau yang berada Istanbul hanya merasai gegaran kecil.
“Saya berada di Turkiye buat tahun ketiga dan hanya dua kali saya merasai pengalaman gempa bumi. Istanbul jarang ada gempa bumi yang agak serius dan biasanya terkesan sedikit gegaran.
“Ada sekali gempa bumi di kawasan yang jarak perjalanannya dua jam dari Istanbul dan kami dapat rasa gegaran di sini, masa itu dalam 3 pagi. Saya terjaga, katil dan almari bergoyang dalam satu minit.”
Seorang lagi rakyat Malaysia yang menetap di Istanbul, Khaidir Zainoddin turut merasakan gegaran kecil ketika gempa bumi itu berlaku, namun bersyukur aktiviti kembali normal pada sebelah pagi.
“Di Istanbul angin ribut kuat, salji turun dan hujan lebat. Waktu gempa itu berlaku saya tidur, saya hanya rasa gegar sikit.”
Pekerja sambilan syarikat televisyen tempatan itu berkata, beliau belum dapat menghubungi rakannya yang berada di kawasan terjejas dengan gempa.
Menurut laporan media, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye awal pagi tadi dekat bandar Gaziantep, meragut 912 nyawa di Turkiye, manakala 476 lagi kematian direkodkan di negara jiran Syria.
Satu lagi gempa kuat bermagnitud 7.2 berlaku 99km barat dari Malatya, Turkiye pada 6.24 petang tadi.
Sumber I FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment