KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah yang menawarkan diri bertanding merebut jawatan Ketua Pemuda UMNO mengakui berdepan serangan pihak tertentu biarpun tarikh pencalonan bagi pemilihan belum dibuka.
Ahli Dewan Negara itu bagaimanapun berkata, beliau tidak berminat dengan sebarang bentuk serangan peribadi seperti itu atau mahu menjatuhkan imej mana-mana pihak.
"Saya tidak minat melakukan serangan peribadi atau jatuhkan imej mana-mana pihak sepanjang kempen. Politik kini harus lebih dinamik dan progresif ke arah politik matang.
"Tiada siapa yang sempurna dalam hidup. Cuma kita perbaiki apa juga kelemahan yang ada," katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Armand Azha turut mengesahkan beberapa pemimpin muda UMNO lain dijangka menawarkan diri bertanding merebut jawatan utama sayap UMNO itu kelak.
"Ada beberapa lagi nama yang dikhabarkan menawarkan diri. Saya meraikan demokrasi parti dalam isu pemilihan parti. Saya mengambil pendekatan untuk berikan apa yang akan saya laksanakan jika akar umbi berikan amanah dan tanggungjawab.
"Saya lebih minat ceritakan hala tuju dan dasar yang akan saya laksanakan. Apa pun saya terbuka untuk terima pandangan, cadangan, kritikan dan apa saja untuk masa depan Pemuda UMNO," katanya.
Terdahulu dalam satu video dikongsikan beliau kelmarin, Ketua UMNO Subang itu menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan dalam pemilihan sayap itu yang dijadual berlangsung pada 11 Mac depan.
Selain Armand Azha, beberapa nama lain dijangka bertanding merebut jawatan itu termasuk Setiausaha Pemuda UMNO yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Hasmuni Hassan.
Seorang lagi calon yang sepatutnya merebut jawatan berkenaan iaitu Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dijangka tidak dapat bertanding kali ini selepas digantung keahliannya oleh parti Jumaat lalu.
Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan EXCO Wanita, EXCO Pemuda dan EXCO Puteri UMNO Pusat akan diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.
No comments
Post a Comment