Anggota JPJ melakukan pemeriksaan motosikal ketika menjalankan Ops Bengkel di sebuah bengkel motosikal di Pulau Pinang hari ini. - Gambar/ Bernama |
GEORGE TOWN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 66 notis saman kepada lima bengkel yang dipercayai mengubah suai motosikal secara haram di sekitar daerah Timur Laut dan Barat Daya dalam usaha membanteras kegiatan lumba haram di negeri ini.
Pengarahnya Adenan Md Isa berkata menerusi Ops Bengkel itu, pihaknya telah memeriksa lima bengkel dan mendapati 24 motosikal yang terdapat di situ melakukan pelbagai kesalahan berkaitan mengubah suai tanpa kebenaran.
"Dalam pemeriksaan di lima buah bengkel itu, sebanyak 66 notis saman dikeluarkan melibatkan 30 kesalahan iaitu memasang tayar sotong, mengubah ekzos, memasang alat mengawal kelajuan, mengubah sistem enjin, mengubah lengan ayun dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas mengetuai operasi itu di sebuah bengkel motosikal di Jalan Gudwara, di sini hari ini.
Operasi selama dua jam bermula 1 tengah hari itu, disertai 120 pegawai dan anggota JPJ, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
Adenan berkata notis saman dikeluarkan mengikut Seksyen 6 dan Sekyen 59 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pengusaha bengkel serta pemilik motosikal diarahkan untuk membetulkan semua motosikal yang telah diubah suai kepada standard.
Katanya dalam operasi itu juga, pihaknya menasihatkan pemilik bengkel agar menghentikan proses ubah suai motosikal secara haram bagi memastikan kegiatan lumba haram atau merempit tidak dilakukan oleh geng mat rempit.
"Pemeriksaan kami mendapati antara proses ubah suai yang sering dilakukan mereka ialah melibatkan pemotongan brek motosikal bagi meningkatkan kelajuan enjin kerana apabila motosikal ditanggalkan brek, geseran tidak berlaku pada tayar dan ia membolehkan enjin mempunyai kuasa memecut yang lebih laju," katanya.
Beliau berkata bengkel motosikal di Jalan Gudwara sering menjadi tumpuan mat rempit untuk mengubah suai motosikal secara haram dan ia pernah diserbu tahun lepas malah dikenakan saman kerana kesalahan sama.
-- BERNAMA
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment