PUTRAJAYA: Semua calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan menggunakan logo sendiri biarpun mengadakan kerjasama politik dengan Pakatan Harapan (PH).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata soal pembahagian kerusi yang akan ditandingi dalam PRN sudah mula dibincangkan.
Bagaimanapun, beliau berkata, ia belum dimuktamadkan lagi.
"Isu pembahagian kerusi akan dibincangkan dalam mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan.
"BN akan menjalin kerjasama antara parti politik sedia ada, tetapi calon BN akan kekal menggunakan lambang BN," katanya pada sidang media selepas sesi lawatan rasminya ke Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di sini, hari ini.
Media semalam melaporkan, enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu mencapai persetujuan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tempoh dua minggu terakhir Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN masing-masing.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dilaporkan berkata kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan antara enam Menteri Besar serta Ketua Menteri di ibu negara semalam.
Amirudin berkata, persefahaman sudah pasti akan dimaklum serta dibincangkan di peringkat parti masing-masing sebelum dipersembah bagi tujuan perkenan Sultan, Yang Dipertuan Besar serta Tuan Yang Terutama Negeri masing-masing.
Semua negeri itu tidak membubarkan DUN masing-masing serentak dengan Parlimen penggal ke-14 pada Oktober tahun lalu bagi memberi peluang kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) seperti dilakukan oleh Kerajaan Perlis, Perak dan Pahang.
Empat lagi negeri iaitu Sabah, Melaka Sarawak serta Johor pula masing-masing baru saja menjalankan PRN iaitu pada September 2020, November dan Disember 2021 serta Mac 2022.
No comments
Post a Comment