Menu RAHMAH - Ibarat "A Band-Aid on a Broken Bone"
1. Pertamanya saya ucapkan tahniah kepada YB Dato Seri Salahuddin Ayub diatas usaha memperkenalkan menu RAHMAH yang berharga RM5. Usaha oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang melancarkan menu ini melalui 15,000 restoren diseluruh negara tanpa ada peruntukan daripada pihak Kerajaan haruslah dipuji.
2. Namun dalam masa yang sama kerajaan perlu berhati-hati. Apa yang cuba dibuat melalui menu RAHMAH ini adalah "voluntary price control" dan ianya sebenarnya tidak menyelesaikan masalah sebenar dan hanya mengalihkan masalah dari pengguna kepada penyedia perkhidmatan iaitu restoren. Ibarat "A Band-Aid on a Broken Bone". Masalah sebenar iaitu kenaikan kos penyediaan makanan berpunca dari kenaikan harga bahan asas. Apa yang dibuat Kementerian adalah "memaksa" restoren untuk mengurangkan keuntungan dengan menyediakan menu berharga RM5.
3. Pendapatan yang berkurangan ini, dicampur dengan kenaikan kos lain seperti sewa kedai, kos utiliti, gaji pekerja, kos barangan asas memasak, akan menyebabkan restoren mengalami kerugian. Apabila mengalami kerugian, restoren terpaksa mengambil langkah mengurangkan kerugian termasuk mengurangkan pekerja. Saya juga menjangkakan menu RAHMAH ini (walaupun saya setuju penyediaan ini) tidak akan bertahan lama.
4. Berbalik kepada punca kenaikan harga makanan iaitu kenaikan kos barangan asas yang terletak dibawah portfolio YB Dato Seri Muhammad Bin Sabu (tahniah baru terima pingat hari ini), perlu ada satu tindakan penyelesaian yang konkrit bagi menghadapi dan menangani kenaikan ini. Setakat hari ini, belum ada apa-apa langkah yang diumumkan selain import telur yang mana lebih mahal dan gred rendah, dan cadangan jangan makan ayam oleh Menteri Ekonomi.
5. Saya berharap YAB Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara boleh memberikan keutamaan kepada isu ini dan segerakan tindakan yang dapat menurunkan kos sara hidup rakyat. Tatkala YAB Perdana Menteri sibuk melantik ahli keluarga ke jawatan penting Kerajaan dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan seronok mendapat pingat, rakyat semakin resah akibat terhimpit dengan kenaikan kos.
No comments
Post a Comment