KAHRAMANMARAS: Pasukan penyelamat bekerja sepanjang malam untuk menyelamatkan mangsa yang mungkin masih bernyawa dan terperangkap di bawah runtuhan, lapan hari selepas gempa bumi terburuk melanda Turkiye.
Harapan untuk mencari dan menyelamatkan (SAR) lebih ramai mangsa yang masih hidup semakin pudar selepas lebih seminggu bencana melanda.
Di tempat lain di Kahramanmaras, penyelamat cuba menghubungi seorang warga emas, ibu dan anak perempuan, semuanya daripada satu keluarga, yang kelihatan terselamat daripada gempa bumi dan gegaran susulan yang mengorbankan lebih 37,000 di Turkiye dan Syria setakat ini.
Bagaimanapun, pasukan menyelamat kini bersiap untuk mengurangkan operasi ekoran suhu rendah menyebabkan peluang untuk mangsa terus hidup semakin tipis, dengan beberapa penyelamat Poland juga mengumumkan akan beredar mulai esok.
Di bandar Aleppo, Syria, Ketua Misi Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Martin Griffiths, berkata fasa menyelamat 'hampir berakhir', dengan tumpuan beralih kepada bantuan untuk tempat tinggal, makanan dan persekolahan.
Presiden Syria, Bashar al-Assad, kini bersetuju untuk membenarkan lebih banyak bantuan PBB mengakses masuk ke negara yang dilanda perang saudara itu dari Turki, menurut pihak diplomat lewat Isnin.
Media Turkiye berkata, penyelamat menaruh harapan untuk mencari mangsa yang terselamat di beberapa lokasi di wilayah Kahramanmaras, Adıyaman dan Hatay, di mana terdapat kemungkinan ada yang masih hidup di bawah runtuhan itu.
Bagaimanapun, di bandar selatan Antakya, jengkaut mula meruntuhkan bangunan yang rosak teruk, dengan kerja membersihkan runtuhan bermula.
Ratusan penduduk tempatan pula meninggalkan bandar setiap hari dengan sebahagian daripada mereka yang ada masih berdiri mengelilingi unggun api di simpang jalan dan di taman serta tidur di dalam khemah atau kereta.
Di Kahramanmaras juga, pasukan penyelamat memberitahu mereka dapat berhubung dengan seorang warga emas, ibu dan bayi yang masih terperangkap di dalam bilik di bawah runtuhan bangunan tiga tingkat.
Penyelamat sedang menggali terowong kedua untuk mencapai kedudukan mereka, selepas laluan pertama disekat dengan orang ramai membantu mengalihkan serpihan runtuhan.
"Saya mempunyai perasaan sangat kuat bahawa kami akan mendapatkan mereka, ini sudah menjadi satu keajaiban.
"Selepas tujuh hari mereka berada di sana tanpa air dan makanan, namun dalam keadaan baik," kata ketua pasukan sukarela penjagaan kesihatan Turkiye, Burcu Baldauf.
Jumlah korban Turkiye kini melebihi 31,643 orang, mengatasi angka kematian ketika gempa bumi pada 1939, menjadikannya gempa bumi terburuk dalam sejarah moden Turkiye.
Jumlah kematian di Syria pula, sudah mencecah 5,714, orang termasuk mangsa yang meninggal dunia di kawasan dikuasai pemberontak dan kerajaannya.
Puluhan penduduk yang ditemui menyuarakan rasa bingung ekoran kekurangan bekalan air, makanan, ubat, selain beg mayat dan kren memenuhi zon bencana pada hari pertama selepas gempa bumi.
Sebahagian mereka juga menyuarakan kritikan terhadap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan Turkiye (AFAD), yang didakwa lambat bertindak.
Seorang penduduk, Said Qudsi tiba ke Kahramanmaras dari Istanbul untuk mengebumikan bapa dan ibu saudaranya serta dua anak lelaki mereka, manakala dua anak perempuan mereka masih hilang.
"Ramai mangsa tidak maut kerana gempa bumi, tapi mereka maut kerana langkah berjaga-jaga yang tidak diambil lebih awal," katanya.
Presiden Turkiye, Reccep Tayyip Erdogan, yang akan berdepan pilihan raya dijadualkan pada Jun depan, mengakui wujud masalah dalam tindak balas awalnya, namun menyatakan keadaan kini semakin terkawal.
Gempa bumi itu menimbulkan kemarahan dalam kalangan rakyat Turkiye sendiri terhadap jutaan pelarian Syria yang sudah melarikan diri dari perang saudara di negara mereka dan memasuki Turkiye.
Rakyat Syria berkata mereka sudah dituduh merompak, ditendang keluar dari kem pelarian dan dihina.
Sumber dari Hayat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah kumpulan Islam yang menguasai sebahagian besar wilayah itu, memberitahu kumpulan itu tidak akan membenarkan penghantaran dari kawasan yang dikuasai kerajaan dan bantuan akan datang dari Turkiye.
Griffiths, ketika pertemuan dengan Majlis Keselamatan PBB (UNSC) dipetik berkata, Assad sudah bersetuju untuk membenarkan tiga lintasan sempadan beroperasi antara Turkiye dan Syria untuk tempoh tiga bulan.
Sehingga kini, hanya terdapat satu laluan yang dibuka, sekali gus memperlahankan agihan pelbagai bantuan yang diperlukan ke sana.
Sementara, Ketua kumpulan penyelamat dikendalikan pembangkang Syria, semalam mengecam keputusan PBB untuk memberi kebenaran kepada Assad menentukan penghantaran bantuan melalui lintasan sempadan Turkiye, dengan mengatakan ia memberinya manfaat politik secara percuma. - REUTERS
Teroris kata bos mereka turki dan nato ya
ReplyDelete