ADANA: Gempa bumi kuat berukuran 7.8 magnitud yang menggegarkan kawasan luas Turki dan negara jiran, Syria semalam, membunuh lebih 2,800 orang dan mencederakan ribuan lagi serta menumbangkan beribu-ribu bangunan yang memerangkap penduduk di bawah timbunan runtuhan.
Pihak berkuasa bimbang angka kematian akan terus meningkat ketika penyelamat mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan bangunan di wilayah yang dilanda perang saudara hampir 12 tahun di Syria.
Penduduk yang terkejut daripada tidur akibat gempa sebelum subuh bergegas keluar dalam hujan dan salji untuk menyelamatkan diri, manakala mereka yang terperangkap menjerit meminta pertolongan.
Sepanjang hari, gegaran susulan yang kuat menggegarkan wilayah itu, termasuk gegaran yang hampir sama kuatnya dengan gempa awal. Apabila malam tiba, pekerja masih menggergaji kepingan runtuhan dan mengeluarkan mayat ketika keluarga terdesak menunggu berita mengenai orang tersayang yang terperangkap.
“Cucu saya berumur 1 1/2 tahun. Tolong bantu mereka, tolong. Kami tidak dapat mendengar mereka atau mendapat sebarang berita daripada mereka sejak pagi.
“Tolong, mereka berada di tingkat 12,” Imran Bahur menangis dengan bangunan pangsapurinya yang musnah di bandar Adana di Turkiye. Anak perempuan dan keluarganya masih tidak ditemui.
Puluhan ribu penduduk yang kehilangan tempat tinggal di Turki dan Syria menghadapi malam dalam kesejukan. Di Gaziantep, Turkiye, ibu kota wilayah kira-kira 33 kilometer dari pusat gempa, orang ramai berlindung di pusat beli-belah, stadium dan pusat komuniti. Masjid-masjid di sekitar kawasan itu dibuka untuk menyediakan tempat berteduh.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, mengisytiharkan negara berkabung selama tujuh hari.
Gempa bumi yang berpusat di wilayah tenggara Turkiye, Kahramanmaras, menyebabkan penduduk Damsyik dan Beirut, bergegas ke jalan dan dirasai sejauh Kaherah, Mesir. – AP
No comments
Post a Comment