JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad bertekad menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO untuk terus berbakti dan menyumbang usaha memantapkan semula parti terbesar Melayu itu.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor menyuarakan hasrat itu selepas menghadiri Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor yang dipengerusikan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, di sini hari ini.
“Saya menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini kerana itulah jawatan yang boleh dipertandingkan pada waktu ini. Saya percaya ramai tokoh lain termasuk penyandang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan turut mempertahankan dan bertanding jawatan itu.
“Atas semangat untuk terus menyumbang bakti kepada parti pada semua peringkat, maka saya tawarkan diri untuk bertanding,” katanya.
Pada 27 Januari lalu, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor selepas menjawat jawatan itu sejak 2018.
Tempat Hasni yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut diambil alih oleh Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO.
Semalam, Mohamed Khaled turut mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO 2023.
Dua lagi penyandang jawatan Naib Presiden ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
Ditanya mengenai bakal menghadapi saingan kira-kira 10 pemimpin bagi jawatan Naib Presiden UMNO, Hasni yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian memberitahu, keadaan itu membuktikan parti tersebut masih menjadi wadah utama perjuangan politik yang diyakini.
“Ini membuktikan walau apa yang dikata umum terhadap UMNO seperti ditolak masyarakat dan tidak lagi relevan, namun ia terus jadi pilihan.
“Ini adalah petanda positif dan beri gambaran pimpinan UMNO tidak tinggalkan perjuangan parti. Walau apa jua dikata terhadap UMNO, saya masih yakin parti mampu bangkit dan jadi wadah perjuangan pada agama, masyarakat dan negara,” katanya.
Pemilihan UMNO 2023 diadakan bermula pada 1 Februari lalu hingga 18 Mac ini, manakala Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan diadakan mulai 1 hingga 26 Februari ini. – UTUSAN
No comments
Post a Comment