GEORGE TOWN – Gelandangan di pusat bandar ini mendakwa mereka kerap menerima minuman berasaskan susu yang sudah tamat tempoh selain diberikan lauk basi oleh penyumbang individu mahupun berkumpulan.
Kebanyakan daripada gelandangan berkenaan menjadikan kawasan sekitar kaki lima di Jalan Penang, stesen bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Jalan Masjid Kapitan Keling sebagai tempat berteduh.
“Kawasan di sini memang ‘mewah’ dengan makanan terutama hidangan lauk ayam. Ada sahaja orang datang memberi selepas pukul 12 tengah malam, namun ada perkara yang membuat kami tersentuh hati.
“Kami kerap menerima makanan yang hampir basi termasuk makanan berasaskan daging khinzir sedangkan kami orang Islam. Malah, ada yang datang agih minuman susu kotak yang sudah enam bulan tamat tempoh,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi gelandangan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, mendakwa, mereka pernah menerima makanan import berasaskan mi yang hampir tamat tempoh.
“Cukup-cukuplah beri kami makanan hampir basi dan sudah tamat tempoh. Kami juga manusia.
“Bukan setakat itu, ada yang datang beri pakaian lama dan sudah koyak. Hati kami sudah terluka dengan masalah keluarga, ini ditambah pula dengan perkara-perkara sebegini,” tambahnya.
Terdahulu, tinjauan Kosmo! di stesen bas bawah Komtar dan di Jalan Penang sekitar pukul 12 tengah malam baru-baru ini mendapati, terdapat lebih 30 gelandangan tidur di laluan pejalan kaki, kaki lima serta kerusi batu.
Mereka dilihat tidur beralaskan kotak termasuk ada yang membawa bersama bagasi baju sangkar dan haiwan peliharaan seperti kucing. -KOSMO! ONLINE
No comments
Post a Comment