GEORGE TOWN: Ketua Menteri, Chow Kon Yeow memberi bayangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang mungkin akan dibubarkan akhir Mei ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Kon Yeow yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang berkata, pembubaran DUN pada akhir Mei itu dilihat paling sesuai untuk memberi laluan PRN diadakan pada Jun atau Julai depan di enam buah negeri yang masih belum mengadakan PRN selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
”Mungkin kalau dibubarkan (DUN Pulau Pinang) akhir Mei, semestinya PRN perlu diadakan pada Jun atau selewat-lewatnya Julai ini.
”Jadi mungkin betul apa yang dikatakan oleh Menteri-Menteri Besar berkenaan.(negeri lain) bulan Jun atau Julai adalah paling sesuai untuk seragamkan PRN di semua negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memberi bayangan DUN Kedah akan dibubarkan selepas pertengahan Jun depan bagi membolehkan PRN diadakan.
Malah, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut mencadangkan DUN negeri itu dibubarkan pada 1 Jun ini bagi memberi laluan kepada PRN.
Pada PRU-15, enam negeri iaitu Kedah; Pulau Pinang; Selangor; Negeri Sembilan; Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan DUN masing-masing, maka satu PRN perlu diadakan sekiranya kerajaan negeri berkenaan membubarkan DUN masing-masing atau DUN terbubar dengan sendiri selepas tamat tempoh kelak.
Menurut Kon Yeow, setakat ini masih belum ada sebarang mesyuarat rasmi dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri di enam negeri bagi membincangkan soal PRN atau pembubaran DUN di negeri masing-masing.
”Pertemuan dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri hanya berlaku pada 21 Februari nanti yang mana pada waktu itu akan diadakan pertemuan antara Perdana Menteri bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri.
”Pada minggu yang sama juga akan berlangsung Mesyuarat Raja-Raja di Istana Negara dan di kedua-dua majlis ini mungkin kita boleh berbincang mengenai PRN,” katanya.
Tambah beliau, sebelum ini wujud perbincangan setiap pentadbiran negeri akan berkhidmat sehingga cukup tempoh satu penggal sebelum PRN diadakan.
”Namun, ada Menteri Besar yang rasa boleh menang jadi mahu percepatkan PRN, tetapi sekarang situasi lain yang berlaku pula,” katanya. – UTUSAN
No comments
Post a Comment