Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Adnan Mat berkata langkah itu wajar dilaksanakan bagi membolehkan jumlah bayaran balik pinjaman lebih rendah sekali gus membantu rakyat yang sedang berdepan dengan peningkatan kos sara hidup serta kesan pasca-COVID-19.
Katanya, ia termasuk bayaran pembiayaan peribadi untuk dipanjangkan dari 10 tahun kepada 20 tahun dan bayaran semula pinjaman yang rendah ini membolehkan rakyat mempunyai lebih banyak pendapatan boleh guna untuk dibelanjakan.
“Secara keseluruhannya, langkah ini dijangka merancakkan semula ekonomi kerana pendapatan boleh guna rakyat bertambah dan dapat mengurangkan tekanan hidup. Lebih penting adalah ia mampu memberi peluang kedua kepada rakyat yang mungkin terhimpit sehingga perlu melalui proses kebankrapan menstruktur semula kewangan mereka. Dalam masa sama, operasi peniagaan koperasi kredit dan institusi kewangan yang dikawal selia oleh Bank Negara boleh berkembang semula,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, rekod kebankrapan dalam kalangan pekerja di sektor awam dilihat tidak begitu membimbangkan iaitu kira-kira 9.06 peratus atau 4,449 orang.
“Ini kerana pendedahan terhadap pengurusan kewangan baik yang diterapkan perkhidmatan awam ke atas anggotanya secara berterusan telah meningkatkan kesedaran penjawat awam dalam menguruskan kewangan supaya tidak terjerat dalam kancah hutang.“Bagaimanapun, Cuepacs melahirkan sedikit kebimbangan keperluan rakyat ketika ini yang terpaksa berhutang bagi meneruskan kehidupan disebabkan gaji yang tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup yang tinggi ketika ini,” katanya.
Adnan berkata justeru, langkah memanjangkan tempoh pembiayaan juga membolehkan mereka yang mahu melakukan pinjaman perumahan atau pinjaman peribadi untuk berniaga juga tidak begitu bimbang untuk melakukan pinjaman kerana bayaran bulanan pinjaman itu akan menjadi lebih rendah jika had tempoh pembiayaan dipanjangkan.
“Rakyat yang terjejas pendapatan juga boleh membuat penstrukturan semula tempoh dan bayaran bulanan kepada jumlah yang termampu. Penstrukturan semula pinjaman boleh mengelakkan masalah kebankrapan atau muflis daripada berlaku,” katanya.
Adnan berkata pada 2013, Bank Negara telah mengeluarkan pekeliling memendekkan tempoh pembiayaan peribadi dari 25 tahun kepada 10 tahun dan pinjaman perumahan dari 45 tahun kepada 35 tahun dan langkah berkenaan mengakibatkan jumlah bayaran bulanan yang perlu dibayar oleh peminjam menjadi lebih besar.
- Bernama
No comments
Post a Comment