SHAH ALAM: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih belum melamar bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara rasmi untuk menyertai parti tersebut.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, adalah lebih baik sekiranya Khairy Jamaluddin bersama Perikatan Nasional (PN) memandangkan beliau antara ahli politik yang mempunyai peluang cerah untuk memimpin negara pada masa hadapan.
“Kami ada bersembang, tetapi tidak berbincang secara serius. Saya dengar juga jawapan beliau pada pihak media, beliau nyatakan bahawa akan memikirkan jawapannya.
“Jadi, beliau ada banyak pilihan yang sedang fikirkan. Saya yakin, tiba masanya saya berharap beliau buat keputusan yang terbaik,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Jumaat, Khairy Jamaluddin antara yang dipecat dari UMNO serta-merta selain Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.
Pemecatan itu adalah atas dakwaan melakukan sabotaj parti pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.
Ahmad Faizal turut mendakwa susulan pemecatan tersebut, ramai penyokong parti keramat itu telah berpaling tadah dan memohon untuk menjadi ahli Bersatu.
Beliau turut bersimpati dengan pemecatan dan penggantungan yang dilakukan terhadap beberapa bekas ahli itu menyatakan bahawa demokrasi di dalam UMNO sudah hilang.
“Saya tidak mahu campur masalah rumah tangga orang lain. Tapi, saya lihat demokrasi di dalam UMNO itu memang sudah tiada lagi. UMNO sudah jadi parti peribadi, boleh buat sesuka hati Presiden dan pucuk pimpinan.
“Saya lihat dengan apa yang berlaku ini menyebabkan PN menjadi pilihan yang lebih baik. Tiba-tiba jadi popular, bukan sahaja di kalangan pemimpin yang dipecat, tetapi di kalangan penyokong mereka,” jelasnya.
Justeru, Ahmad Faizal mengalu-alukan kepada mereka yang berhasrat berjuang bersama Bersatu untuk melawan kemungkaran, salah guna kuasa dan ikhlas bekerja demi rakyat. -- Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment