NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Belanjawan 2023: Enam cadangan oleh bekas Ahli Parlimen




SAUDARA PENGARANG,

SEBENARNYA terdapat enam perkara perlu dimasukkan dalam Belanjawan 2023 yang akan dibentangkan esok.

Pertama, harus diwujudkan segera skim pencen warga emas sebanyak RM500 sebulan untuk 1.7 juta rakyat berumur 65 tahun ke atas yang sekarang ini tidak menerima apa-apa pencen kerajaan atau bantuan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Skim pencen ini akan melibatkan kos lebih kurang RM10 bilion setahun.

Kedua, perkenalkan caruman Perkeso yang ditaja oleh Kerajaan Persekutuan untuk memberikan perlindungan ilat (tidak dapat bekerja lagi kerana cacat anggota badan disebabkan kemalangan dan lain-lain) kepada semua wanita berumur antara 18 hingga 60 tahun.

Ia akan melibatkan peruntukan RM1.2 bilion setahun untuk memberikan perlindungan kepada 6.5 juta wanita yang berkelayakan, iaitu bukan kakitangan kerajaan dan individu tidak dilindungi Perkeso.

Ketiga, tambah peruntukan Kementerian Kesihatan kepada sekurang-kurangnya RM44 bilion setahun berbanding RM33 bilion pada 2022.

Namun, harus ada rancangan untuk meningkatkan belanjawan kesihatan dalam tempoh lima tahun akan datang supaya mencapai sasaran empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM66 bilion setahun.

Tiga perkara ini akan menyediakan asas kepada sebuah jaringan perlindungan yang lebih baik dan komprehensif kepada semua rakyat, di samping mengurangkan kebimbangan dirasai ramai apabila mereka memikirkan masa depan selepas bersara.

Perkara keempat, kerajaan harus memperuntukkan dana berjumlah RM2 bilion setahun untuk menaja secara bersama sebuah program yang mewajibkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil alih penyelenggaraan dan pengurusan rumah pangsa kos rendah.

Kebanyakan rumah pangsa kos rendah berada dalam keadaan yang menyedihkan kerana jawatankuasa pengurusan tidak dapat mengumpul yuran penyelenggaraan mencukupi untuk memastikan kebersihan premis, memperbaiki lif rosak, membayar bil elektrik bagi lampu di kawasan awam dan sebagainya. Akibatnya, banyak kediaman ini tidak selesa dan kurang selamat untuk didiami.

Kelima, kerajaan harus memastikan wujud ketelusan dalam penggunaan dana diberikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah melalui pejabat-pejabat daerah untuk menyelenggara dan menaik taraf kemudahan-kemudahan awam serta rumah di kawasan luar bandar.

Peruntukan kira-kira RM5 bilion setahun itu mesti dikekalkan. Bagaimanapun, harus disyaratkan semua peruntukan dan spesifikasi projek yang diluluskan itu dipaparkan dalam talian supaya penduduk dapat mengakses dan memantau.

Kerajaan juga harus memperkasakan Biro Pengaduan Awam supaya peruntukan tidak sampai kepada sasaran dapat disiasat dan didakwa di mahkamah dengan segera.

Keenam, kerajaan perlu mengumumkan menarik diri daripada Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) bagi melakukan semakan semula terhadap faedah yang dikatakan akan diperoleh negara.

Ramai ahli ekonomi bersetuju CPTPP terlalu berpihak pada syarikat multinasional yang kaya raya dan mengikat tangan kerajaan sedangkan situasi semasa memerlukan pemerintah mempunyai keupayaan untuk campur tangan dalam sistem ekonomi apabila diperlukan.


DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput

........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo