NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Armada Bersatu cabar PKR, DAP dedah perbelanjaan kempen PRU15

PETALING JAYA: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencabar PKR dan DAP untuk mendedahkan butiran perbelanjaan dan sumber kewangan kempen sekiranya mereka benar-benar berpegang kepada imej bersih dan berintegriti.

Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kerajaan hari ini dilihat amat jelas terdesak untuk membunuh karakter ‘Prihatin, Bersih & Stabil’ yang sudah sinonim dengan Perikatan Nasional (PN) menggunakan jentera kerajaan yang terkuat untuk menekan dan menindas parti lawan.

“Adakah PKR dan DAP berani mendedahkan pendapatan dan perbelanjaan mereka khususnya semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15)? 

“Kita lihat tidak kurang juga bahan kempen yang digunakan termasuklah mengadakan program hiburan, penggunaan helikopter mewah persendirian oleh pimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan sebagainya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun Bersatu bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM92.5 bilion. 

Pembekuan itu dilakukan kira-kira dua ming­gu lalu selepas Bersatu dipercayai menerima lebih RM300 juta wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi Covid-19.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal menyeru semua penyokong PN khususnya yang berada di dalam pentadbiran kerajaan agar tabah dan bersabar serta tidak tunduk kepada desakan dan tekanan oleh mana-mana pihak yang berkepentingan.

Katanya, ini kerana Armada Bersatu percaya bahawa rakyat dapat menilai dan membuat pemerhatian yang sewajarnya.

“Bermula dengan tuduhan bahawa kononnya PN menerima dana dari tauke judi, kepada tuduhan penyelewengan RM600 billion, ternyata bahawa kesemua tuduhan ini tidak pun dapat dibuktikan sehingga ke hari ini.

“Sebaliknya semua ini bertujuan untuk mengalih perhatian rakyat daripada kegagalan demi kegagalan kerajaan ini yang saban hari semakin menampakkan ketidakupayaan mereka mentadbir sebuah kerajaan yang berkesan.

“Ia juga dibuat untuk menutup amalan keji nepotisme di dalam pentadbiran pada hari ini, disamping terus dihantui oleh kes-kes mahkamah yang melibatkan Timbalan Perdana Menteri,” katanya. – UTUSAN

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo