NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aplikasi MyJPJ tambah ciri keselamatan baharu

KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan pihaknya akan memperkenal satu lagi ciri keselamatan aplikasi MyJPJ dengan menggunakan nombor unik ‘alphanumeric identifier’ yang tertera di belakang lesen memandu.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan untuk memberi solusi serta memperketat lagi keselamatan pengguna susulan beberapa laporan yang diterima berkenaan kad pengenalan telah didaftarkan tanpa pengetahuan pengguna.

“Kita akan perkenalkan satu lagi ciri keselamatan iaitu dengan memasukkan nombor unik ‘alphanumerical identifier’ yang boleh didapati pada bahagian belakang lesen memandu. Pengguna yang mahu mendaftar perlu masukkan nombor unik berkenaan selain nombor kad pengenalan dan ‘password’.

“Bagi kes pendaftaran yang sudah wujud, kemungkinan pengguna telah mendaftar dalam aplikasi mySIKAP atau JP JeBid. Pengguna yang berdaftar dalam dua aplikasi tersebut, secara automatik berdaftar dengan MyJPJ,” ujarnya pada media selepas majlis pelancaran Arts On The Move (AOTM), di Stesen MRT Pasar Seni petang tadi.

Menurutnya, tanpa nombor unik berkenaan yang tertera di belakang lesen memandu, pengguna lain tidak dibenarkan mendaftar dan ini adalah satu lagi cara tambahan untuk memastikan keselamatan terjamin.

Jelasnya lagi, bagi individu yang belum mempunyai lesen memandu, mereka perlu hadir ke pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membolehkan pendaftaran aplikasi berkenaan dibuat.

Seterusnya, pihaknya juga telah menjangka masalah teknikal aplikasi tersebut sebelum pengumuman pelancaran aplikasi MyJPJ empat hari lalu.

“Kita sudah menjangkakan perkara itu susulan ramai orang yang ingin memasuki aplikasi itu untuk mendaftar.

“Setakat pagi tadi, saya mendapat laporan bahawa aplikasi MyJPJ sudah stabil dan sejak hari pertama MyJPJ dilancarkan, terdapat 2.8 juta pengguna telah mendaftar cukai jalan serta lesen secara digital,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa bagi menambah baik fungsi aplikasi terbabit.

“Pada 10 Februari lalu, dalam masa satu saat sahaja ada lebih 500,000 orang cuba mendaftar MyJPJ jadi sudah tentu ia akan menyebabkan keterlewatan. Kita akan segera baik pulih aplikasi berkenaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa penggunaan aplikasi MyJPJ untuk memaparkan Lesen Kenderaan Motor (LKM – pelekat cukai jalan) dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital adalah tidak diwajibkan kepada semua pengguna jalan raya.

“Warga emas yang tidak memiliki telefon pintar atau mereka berada di kawasan kurang capaian internet terutamanya Sabah Sarawak masih boleh mendapatkan pelekat cukai jalan dan lesen fizikal daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sekiranya perlu.

“Ia adalah pilihan, salah satu transformasi ke arah pendigitalan. Dalam proses pendigitalan ini, kita tidak buat secara paksaan kerana ia mengambil masa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo