NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Anwar juga didakwa belanja besar semasa PRU15

IPOH: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meminta PKR membentang kewangan parti itu kerana didakwa berbelanja besar semasa membantu kempen Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertanding di Parlimen Tambun dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Faizal yang merupakan lawan Anwar di Parlimen Tambun pada PRU15 berkata, ini dapat dilihat menerusi bahan kempen khususnya billboard gambar Anwar yang terdapat di beberapa lokasi di Tambun semasa kempen.

“Saya bertanding dengannya di Parlimen Tambun. (Semasa kempen PRU15) kalau nak masuk Ipoh (terdapat) sebesar-besar billboard (gambar Anwar), kalau sewa tak kurang RM50,000 hingga RM70,000.

“Sedangkan kita cuma boleh belanja RM200,000 sebagai calon Parlimen. Tak tahu parti dia belanja berapa banyak.

“Sedangkan kami jelas membuat tempahan bendera, bahan logistik untuk kempen jauh lebih awal, itu yang memungkinkan kita buat tempahan dengan harga murah. Sama seperti PRN Melaka dan Johor, Sabah, kita dah ada persediaan daripada waktu itu lagi, jadi jangan ingat wang yang kita belanja semasa nak hampir pilihan raya sahaja.

“Ada juga kita dengar daripada rakan-rakan yang menyebut elok juga PKR, Amanah, PH (Pakatan Harapan) dan UMNO juga menunjukkan dari mana datang duit mereka, elok juga mereka bentangkan akaun parti mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada kenduri kesyukuran Perikatan Nasional (PN) Tambun di Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Manjoi di sini hari ini.

Ahmad Faizal mengulas mengenai tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan beberapa akaun milik Bersatu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, akaun terbabit dibekukan untuk membantu siasatan ke atas wang yang disyaki daripada hasil haram.

Sementara itu, Ahmad Faizal yang merupakan bekas Ahli Parlimen Tambun berkata, Bersatu menyimpan wang parti hasil daripada sumbangan orang ramai dan pihak korporat dalam akaun bank milik parti dan bukannya disimpan di rumah seperti yang dilakukan oleh pemimpin parti lain.

Menurutnya, setiap wang yang keluar masuk daripada akaun parti itu direkodkan dengan jelas.

Katanya, ini berbeza dengan parti lain yang mana ketika serbuan di rumah bekas pemimpin sebuah parti politik, menemukan wang tunai yang banyak di rumah pemimpin tersebut.

“Duit parti kami simpan dalam akaun, ada keluar masuk yang kita tulis elok-elok tapi rupa-rupanya UMNO buat style Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) beratus juta cash simpan dalam rumah, dia kata itu duit parti. Tak tahu pula timbalan presiden waktu itu simpan (wang) di mana?

“Sebelum ini kita mendapat sumbangan yang besar daripada orang ramai, pihak korporat, orang berniaga yang bagi sumbangan kepada parti. Bezanya kita masukkan (wang sumbangan) dalam akaun ditunjukkan dengan jelas, tapi ini dikaitkan pula perkara tidak baik,” katanya.

Ahmad Faizal mengakui tidak mudah untuk parti itu bergerak selepas akaun dibekukan kerana mempunyai ramai pekerja menyebabkan parti sukar untuk membayar gaji para mereka.

“Sekarang susahlah kita nak bayar gaji. Saya rasa simpati kerana mereka ada anak kecil, tanggungjawab untuk ibu bapa dan keluarga. Apa yang akan berlaku kalau tak mampu bayar gaji? Ramai yang terlibat, saya rasa susah hati nak selesaikan masalah ini,” katanya. – UTUSAN

( Hide )

© all rights reserved
made with by templateszoo