KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengemukakan surat tuntutan (LOD) kepada Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim, berhubung kenyataan yang menuduh perdana menteri berdendam lebih teruk daripada Dr Mahathir Mohamad dan mengamalkan pendakwaan berpilih.
Dakwaan Awang itu terkait dua pertuduhan termasuk menerima rasuah RM6.9 juta dihadapi Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.
Firma guaman, Tetuan S N Nair dan Partners yang mewakili Anwar berkata, Perdana Menteri juga menuntut bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia itu menarik balik kenyataan fitnah secara umum itu dan berjanji tidak akan mengulangi dakwaan itu lagi.
"Anak guam (Anwar) mengarahkan kami untuk menuntut ganti rugi substantif daripada Yang Berhormat (Awang) atas kecederaan teruk yang dilakukan ke atas reputasinya. Anwar menuntut daripada Yang Berhormat pembayaran semua kos guaman yang berbangkit daripada perkara ini.
"Notis ini ditulis selaras dengan protokol pratindakan sebelum permulaan tindakan saman fitnah. Kami menunggu maklum balas Yang Berhormat tanpa apa-apa kelewatan.
"Sekiranya anak guam tidak menerima apa-apa maklum balas yang memuaskan dalam tempoh tiga hari daripada tarikh penerimaan notis, arahan kami adalah untuk memulakan tindakan perundangan terhadap Yang Berhomat," katanya menerusi LOD yang dihantar kepada Awang bertarikh hari ini.
Ketika mengulas tuduhan rasuah terhadap Wan Saiful, Awang dilaporkan berkata 'kalau inilah permulaan PM, dia adalah perdana menteri paling teruk di Malaysia. Malah Dr Mahathir yang dikata zalim pun tak (sezalim itu) setakat ini.'
Malah, Awang juga mendakwa sifat balas dendam Perdana Menteri sangat kuat dan sangat pendendam.
Dalam LOD sama peguam Anwar berkata komen dibuat Awang adalah tidak benar, membebankan, mengelirukan dan tidak munasabah serta berniat jahat.
Awang juga menggesa Anwar tidak pilih kasih dengan mengambil tindakan pendakwaan secara terpilih dan kes membabitkan dakwaan serius seperti kapal tempur pesisir (LCS) sepatutnya perlu didahulukan.
Mengulas lanjut, firma guaman itu berkata, kenyataan Ahli Parlimen Pendang itu adalah tidak benar, menyusahkan, pelik, mengelirukan, tidak wajar, cuai, disengajakan dan berniat jahat yang bertujuan merendahkan maruah serta mendedahkan Anwar kepada kebencian awam.
Kenyataan itu juga didakwa bermotifkan politik serta untuk mengagalkan matlamat dan komitmen Perdana Menteri dalam mewujudkan tata kelola pentadbiran kerajaan yang baik dan telus bagi mendukung aspirasi Malaysia Madani.
"Anak guam tidak pernah campur tangan dalam bidang kuasa penyiasatan agensi penguat kuasa di Malaysia dan oleh itu tidak mengamalkan apa-apa penyiasatan terpilih seperti yang dituduh secara melulu oleh Yang Berhormat.
"Anak guam tidak pernah mengarahkan atau mencampur tangan dalam bidang kuasa Peguam Negara untuk melakukan apa-apa pendakwaan terpilih terhadap mana-mana pihak.
"Anak guam menghormati dan mendukung Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang di bawah Rukun Negara.
"Semua badan penyiasatan dan pendakwaan bertindak secara bebas dan apa-apa cubaan untuk mencadangkan yang sebaliknya adalah tindakan melontarkan satu tuduhan yang amat serius terhadap reputasi dan integriti anak guam secara persendirian dan sebagai Perdana Menteri," katanya. - Berita Harian
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
Memang terpilih pun, mana tidaknya.. yg dalam pandora papers tu ramai kenapa sorang jer yg disiasat?
ReplyDelete