NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Aktivis media sosial disoal siasat SKMM lebih 6 jam

AYER KEROH: Aktivis media sosial Haniff Abdul Rahim mendakwa disoal siasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) selama lebih enam jam kerana dituduh membuat hantaran media sosial memburukkan kerajaan.

Menurutnya tindakan kerajaan dianggap sebagai tidak selaras dengan hak kebebasan bersuara yang dilaungkan pemimpin politik kerajaan sekarang.

Katanya, kerajaan melaungkan konsep madani namun hak bersuara, mengkritik dan memberi komen semakin disekat.

“Kita ditekan untuk tidak bersuara bagi menampakkan kerajaan hari ini membela nasib rakyat. Saya memberi kerjasama kepada pihak polis dan SKMM,” katanya pada satu hantaran di Facebooknya.

Menurutnya beliau merasakan agak lucu apabila dituduh melabel dan memburukkan kerajaan, sedangkan banyak isu melibatkan jenayah di internet yang sepatutnya diberi perhatian agensi terlibat.

“Judi haram dalam talian, porno, masalah internet yang perlu diberikan keutamaan kerajaan, bukan menyekat hak-hak kami untuk bersuara.

“Insya-Allah saya akan terus melawan kezaliman! Tidak dilupakan kepimpinan Pemuda PAS Ustaz Fadhli Shaari dan Afnan Hamimi yang bersuara melibatkan sekatan aktivis media sosial untuk menyatakan pandangan.

“Saya akan terus menyampaikan kebenaran dan tidak sedikit gentar untuk bersuara,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ahmad Fadhli Shaari pada sidang media di parlimen semalam membantah tindakan pihak berkuasa terbabit.

Katanya, notis dikeluarkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kepada Mohd Haniff supaya hadir memberi keterangan di Balai Polis Bandar Hilir.

Kata beliau tindakan itu menyekat kebebasan bersuara anak muda.

“Jika ini tindakan yang diambil kerajaan, kita menyeru anak muda di supaya jangan menghentikan usaha untuk terus menyuarakan suara yang dijamin dalam sistem demokrasi di negara kita,” katanya. 

– HARAKAHDAILY

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo