NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Umno Sabah seumpama yang dikendong berciciran

Umno Sabah seumpama yang dikendong berciciran

SEBELUM ini desakan Umno Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 disegerakan demi kestabilan politik, namun ia tidak ke mana-mana. Kata orang kampung sekadar syok sendiri. 

Akhirnya berlaku tragedi politik seperti penggal ke-14. Ia masih berulang. Mengapa tidaknya. Dalam keadaan masih longlai, Umno tiba-tiba cuba membuat kejutan pula di Sabah, mencipta drama baharu.  

Mengulangi agenda pada 2021 apabila parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin Yassin. Ia bukan babak yang tidak sengaja. Pastinya sudah diagenda sedemikian rupa. 

Sehingga sekarang sudah tiga kali agenda sama berulang. Ia bermula di Perak ketika usaha menyingkirkan Faizal Azumu di kerusi menteri besar (MB).

Faizal gagal memperolehi sokongan majoriti usul ‘keyakinan’ majoriti Adun terhadap menteri besar. Pada pengundian yang dijalankan secara sulit, usul itu mendapat sokongan 10 undi.

Manakala 48 Adun tidak menyokong dan satu berkecuali. Usul terbabit dibawa Adun BN Pengkalan Baru Abd Manap. Akhirnya kerusi MB bertukar kepada Saarani Mohamad dari Umno.

Umno berjaya dalam misi tersebut. Kemudian diterus pula dengan agenda menyingkirkan Muhyiddin Yassin. Itu agenda kedua Umno. Agenda itu bermula pada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno 3 Ogos 2021.

Menurut laporan media, Zahid Hamidi menyebut Umno sebulat suara menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Muhyiddin.

Seramai 14 ahli parlimen Umno (BN) menarik sokongan terbabit. Mereka iaitu Zahid (Bagan Datuk), Najib Razak (Pekan), Ahmad Maslan (Pontian), Dr Shamsul Anuar Nasarah (Lenggong), Abdul Azeez (Baling), Azalina Othman (Pengerang).

Selain itu Bung Moktar Radin (Kinabatangan), Jazlan Yaakob (Machang), Nizar Zakaria (Parit), Ahmad Nazlan (Jerantut), Ramli Md Nor (Cameron Highlands), Mohamad Alamin (Kimanis), Noh Omar (Tanjung Karang) dan Tengku Razaleigh (Gua Musang).

Segala agenda itu untuk membolehkan Umno membolot kuasa politik. Dua agenda di Perak dan Putrajaya menjadi kenyataan.

Ramai menganggap isu terbabit terhenti di situ. Lebih-lebih lagi Umno jelas ditolak rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.  

Cuba bayangkan daripada 132 kerusi parlimen pada PRU-13, sekarang tinggal 30 kerusi. Di mana maruah Umno. Daripada menguasai kerajaan, sekarang hanya menumpang Pakatan Harapan (PH), bertenggek di dahan kerajaan.

Dahan rapuh

Dahan tempat Umno berpaut belum tentu kuat. Bila-bila masa boleh patah. Ketika Umno berada di tahap paling lemah, tiba-tiba agenda di Perak dan Putrajaya diulangi pula di Sabah. 

Siapa yang hendak dipersalahkan. Adakah Umno Sabah semata-mata. Ia agak tidak munasabah. Ia tidak mungkin berlaku tanpa restu Umno Pusat. Ia perkara besar dan bukan main-main. Ia menyebabkan maruah dan masa hadapan Umno.

Ramai melihat Bung tidak keseorangan tindakannya menarik sokongan terhadap Hajiji Noor. Ketika rakyat Sabah mual dengan politik ‘divide and rule’, Umno masih lagi mengulanginya. 

Umno masih lagi tidak serik. Pada 6 Januari lalu sebahagian Adun BN Sabah menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Sabah dan kerajaan negeri. Ia dikatakan berkuat kuasa serta merta.

Malangnya ‘Langkah Kinabalu’ diketuai Bung tidak mendapat sokongan solid. Lima Adun BN Sabah mengecam tindakan Bung.

Mereka marah Bung menarik balik sokongan terhadap Hajiji. Bukan setakat itu, sebaliknya mendesak Bung letak jawatan sebagai Pengerusi Umno Sabah.

Adun terbabit iaitu Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Dr Yusof Yacob (Sindumin) dan Mohd Arsad (Tempasuk).

Nampaknya agenda Umno Sabah mengulangi apa yang berlaku di Putrajaya. Ketika itu agenda Zahid juga tidak disokong ramai ahli parlimen Umno.

Sekarang siapa yang dirundung malang. Bung semakin hilang kredibiliti di sisi rakyat Sabah. Kepimpinannya dipertikai pemimpin dan penyokong Umno. 

Mengulas perkembangan yang berlaku itu Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Dr Jeffrey Kittingan dilapor berharap rakyat Sabah tidak merebut kuasa politik.

Hajiji masih mendapat sokongan 44 daripada 79 Adun Adun Sabah. Majoriti mudah di Dun Sabah sebanyak 40 Adun. 

Malah, Menteri Perdana Anwar Ibrahim juga mahu kerajaan Sabah kukuh di bawah Hajiji. “Kita mahu Sabah kukuh di bawah pimpinan Hajiji,” kata menteri perdana seperti dilapor media. 

Bung dan Warisan sebaliknya dikatakan menyokong cadangan PM untuk membentuk kerajaan perpaduan di Sabah. Maksudnya semua parti berada dalam kerajaan Sabah. 

Namun, Hajiji tidak bertindak begitu. Dia masih ada sokongan. Akhirnya Bung hilang jawatan Timbalan Ketua Menteri 1. Warisan pun masih di saf pembangkang. 

Ramai hendak tahu siapa pengarah drama ‘Sabah Januari 2023’. Apa pun tak salah kalau ada orang sebut tindakan Bung seumpama yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.

Sumber : FB

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo