NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO pecat Tun Faisal berkuat kuasa serta-merta



KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz dipecat daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Akhbar Tan Sri Annuar Musa memaklumkan ibu pejabat UMNO menghubungi pihaknya pada jam 4.28 petang tadi dan menghantar surat pemecatan itu melalui aplikasi WhatsApp. 

Melalui Facebooknya, Tun Faisal turut berkongsi surat pemecatan itu yang ditandatangani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, bertarikh 27 Januari lalu. 

Berdasarkan surat itu, dimaklumkan bahawa pemecatan Tun Faisal dibuat berkuat kuasa serta-merta selepas ia diputuskan melalui Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada 5 Januari dan Jumaat lalu.

Tindakan itu dibuat berikutan Tun Faisal dikesan melanggar etika ahli UMNO berdasarkan perlembagaan parti. 

Tun Faisal yang sebelum ini dilihat lantang mengkritik kepemimpinan UMNO berkata, pihaknya tidak bercadang untuk membuat rayuan kerana mendakwa MKT dan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak terbuka menerima kritikan. 

Namun beliau menegaskan, 'penentangan' yang dilakukannya selama ini bukanlah terhadap UMNO itu sendiri namun lebih kepada kepemimpinan dan individu. 

"Bagi saya UMNO dan BN itu tiada masalah dan jelas prinsip perjuangannya tetapi yang bermasalah itu adalah pemimpinnya, seperti Ahmad Zahid yang menjadi punca perpecahan di dalam UMNO sebaik beliau mengkhianati dasar parti dan keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2019 dengan menandatangani akuan bersumpah (SD) dan surat menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Itu adalah punca perpecahan di dalam UMNO sejak 2020. Saya tidak dapat menyokong Ahmad Zahid disebabkan pengkhianatan ini dan penentangan saya terhadap beliau bermulanya daripada terbongkarnya pengkhianatan terbabit," katanya. 

Pada masa sama, Tun Faisal turut melahirkan penghargaan terhadap jasa dan pengorbanan UMNO selama ini dalam memajukan rakyat dan negara. 

Malah katanya, beliau akan meneruskan perjuangan Islam dan ummah namun dalam kapasiti dan wadah yang lain di luar UMNO. 

UMNO dalam 'pembersihan' parti itu sebelum ini bertindak memecat bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar. 

Selain itu, mesyuarat MKT Jumaat lalu turut menggantung keahlian beberapa pemimpin antaranya Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan selama enam tahun.


Sumber I BH Online




........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo