SHAH ALAM: Ubi kayu boleh kembali menjadi makanan ruji rakyat negara ini selain nasi kerana mengandungi banyak khasiat yang diperlukan untuk tubuh badan.
Menurut Dekan Fakulti Sains Gunaan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Dr. Farida Zuraina Mohd. Yusof, potensi untuk ubi kayu menjadi makanan ruji tersebut disokong oleh faktor sejarah semasa pendudukan Jepun yang menjadi sebahagian makanan harian masyarakat di negara ini.
“Terbukti khasiat ubi kayu yang dimakan mampu menyihatkan tubuh badan masyarakat pada zaman pendudukan Jepun.
“Hari ini, kita mengimport sebahagian beras untuk memenuhi keperluan makanan ruji masyarakat negara kita. Sedangkan ubi kayu boleh dijadikan makanan ruji alternatif kerana ia mampu ditanam dengan meluas tanpa banyak kerenah dari sudut pengurusan dan baja,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena program Inovasi Produk Makanan Baharu Berasaskan Ubi yang melibatkan pelajar semester 5 dan 6 Ijazah Sarjana Muda Sains dan Teknologi Makanan (AS246) UiTM Shah Alam dan UiTM Kuala Pilah bagi subjek Pembangunan Produk Makanan (FST 668), baru-baru ini.
Tambah Farida Zuraina, bagi memastikan bekalan ubi mencukupi untuk dijadikan makanan harian masyarakat Malaysia, tanah-tanah terbiar harus dimajukan sebagai pusat penanaman ubi kayu secara komersial.
Mengulas mengenai pertandingan tersebut Farida berkata, pada pertandingan tersebut hasil kajian dan penyelidikan para pelajar membuktikan produk berasaskan ubi boleh dijadikan makanan lazat seperti pengat dalam tin, yogurt dan makanan barat seperti churros.
“Apa yang pasti setiap produk berasaskan ubi yang dibangunkan boleh dikomersilkan dengan bantuan pihak industri di negara ini.
Kita berharap produk- produk ini boleh dipasarkan secara meluas oleh pihak pemain industri dan tidak sekadar menjadi tema pertandingan untuk melengkapkan kursus semata-mata,” ujarnya.-UTUSAN
No comments
Post a Comment