NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tutup premis judi hanya menambahkan judi haram?


DI MALAYSIA, terdapat undang-undang yang membenarkan aktiviti judi dijalankan secara sah iaitu melalui Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, Akta Pertaruhan Wang Terkumpul 1967, Akta Loteri 1952 dan Akta Pertaruhan 1953. 

Kegiatan judi yang dijalankan tanpa lesen dan permit dikira sebagai ‘judi haram’ termasuklah kegiatan judi dalam talian. 

Prinsip PAS pula adalah selari dengan ajaran Islam, judi adalah haram sama ada ia berlesen atau tidak berlesen. 

Penutupan premis judi hanyalah salah satu cara membendung penyakit judi – dan Kerajaan Negeri Kedah sudah pun menggunakan kuasanya. 

Mungkin betul, rakyat Kedah yang sudah ketagihan dengan judi akan mencari alternatif lain sama ada dengan berjudi secara dalam talian, atau pergi ke premis judi yang tidak berlesen. 

Oleh sebab itulah, membanteras aktiviti judi ini tidak cukup dengan tindakan daripada kerajaan negeri sahaja. 

Hal ini kerana Kerajaan Persekutuan mempunyai bidang kuasa untuk meminda Akta-akta berkaitan judi bagi menangani masalah judi dalam talian dan meningkatkan penguatkuasaan terhadap premis-premis yang tidak berlesen.

Sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak berani untuk mengambil tindakan seperti kerajaan-kerajaan negeri di bawah PAS, sekurang-kurangnya ada dua strategi yang Kerajaan Persekutuan boleh lakukan bagi menyokong tindakan membanteras kegiatan judi ini.

Yang pertama, strategi jangka pendek iaitu dengan memperkenalkan dasar-dasar yang bertentangan dengan kepentingan syarikat judi dan meminda undang-undang yang berkaitan dengan perjudian, khususnya bagi menangani aktiviti judi dalam talian. 

Dasar-dasar tersebut termasuklah menaikkan kadar cukai dan meningkatkan kadar hukuman dan penalti mandatori serta menghentikan semua jenis amalan usahasama yang dilakukan bersama entiti judi. 

Kerajaan juga perlu bertegas untuk tidak memberikan sebarang lesen kepada pengendali judi dalam talian walaupun banyak desakan yang dibuat atas alasan mahu mengaut cukai kepada negara. 

Setakat ini, tidak ada peruntukan khusus untuk kegiatan judi dalam talian menyebabkan pihak pendakwaan terpaksa bergantung kepada Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA). 

Penggunaan POCA yang membenarkan seseorang itu ditangkap dan ditahan tanpa bicara bagi kes-kes judi dalam talian menunjukkan kelemahan ketara undang-undang perjudian sedia ada. 

Kerajaan Campuran PH + BN perlu segera memberhentikan politiking memburukkan kerajaan lepas. Teruskan usaha baik kerajaan lepas dengan menggunakan hasil kajian yang dibuat bagi memperkenalkan undang-undang yang boleh membanteras judi dalam talian.

Yang kedua, strategi jangka panjang iaitu dengan menghasilkan pelan strategik yang komprehensif ke arah mengecilkan industri judi secara berperingkat.

Pelan itu juga mestilah memperinci strategi kerajaan bagi mencegah, merawat dan membanteras ketagihan judi dalam kalangan rakyat. 

Penghasilan pelan ini mestilah melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi menimbang rawatan psikologi dan psikiatri kepada komuniti yang terlibat dengan ketagihan judi.

Dengan pelan ini, peranan Kementerian Komunikasi Digital (KKD) tidaklah terhad kepada menyekat laman sesawang dan iklan judi dalam media sahaja. 

KKD boleh mengambil langkah proaktif dengan menghasilkan ‘in-counter-advertising‘ terhadap iklan-iklan judi dalam talian yang semakin banyak di media-media sosial bagi mempengaruhi anak muda untuk tidak mendekati judi.

Pelan ini juga boleh meletakkan strategi jangka panjang dengan memberi panduan yang lebih berautoritatif kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangani judi seperti membatalkan lesen Pusat Hiburan Keluarga (PHK) yang disalahgunakan menjadi tempat perjudian.

Matlamat utama daripada pemberhentian operasi judi di negeri-negeri PAS adalah bagi melindungi rakyatnya daripada bahaya judi yang telah merosakkan banyak institusi keluarga di Malaysia.

Kelantan, Terengganu dan Kedah berani mengambil tindakan ini kerana rakyat mereka sudah lama dididik dengan bahaya judi melalui pengajian-pengajian agama yang dilakukan secara terbuka. 

Kini, tiba giliran Kerajaan Campuran PH + BN pula untuk mengambil tindakan dari sudut undang-undang, dasar dan juga penguatkuasaan dalam mendidik rakyat menjauhi judi. 

MUNA RIME
Exco Penerangan & Media Baharu
Ameerah Malaysia – HARAKAHDAILY


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo