NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M jangka Umno mungkin merosot lagi kerana terus dikuasai Zahid

Umno memutuskan untuk tidak pertandingkan jawatan presiden dan timbalan presiden pada pemilihan parti akan datang.
PETALING JAYA: Kerusi Umno pada pilihan raya umum akan datang mungkin merosot lagi kerana parti itu mengekalkan Zahid Hamidi yang sedang dibicarakan kerana rasuah, kata bekas presiden, Dr Mahathir Mohamad.

Sambil menunjukkan turun naik kerusi Parlimen yang diperoleh Umno sejak PRU 2004, Mahathir menyimpulkan prestasi Umno menurun apabila presiden parti itu didakwa menyeleweng.

“Perlembagaan Umno memperuntukkan ahli menukar pemimpin. Tetapi ahli Umno ternampak bersedia mengekalkan pemimpin yang sedang dicaj pun,” katanya dalam kenyataan.

Mahathir berkata sejak PRU 2004, prestasi Umno menurun sepanjang masa, daripada 109 kerusi ketika itu kepada 79 (PRU 2008), daripada 88 (PRU 2013) kepada 54 (PRU 2018), dan akhirnya 26 pada PRU lepas.

“Sebelum skandal 1MDB, Umno pulih sedikit dengan kemenangan 88 kerusi dalam PRU13,” katanya, sambil mengingatkan Umno ketika itu menukar pemimpin.

Namun Umno hanya meraih 54 kerusi pada PRU seterusnya susulan skandal 1MDB, tambahnya.

Mahathir berkata Umno terus dikuasai oleh presiden yang sedang bicara kerana rasuah, susulan keputusan perhimpunan agung Umno untuk tidak mempertandingkan jawatan presiden pada pemilihan akan datang.

“Sekarang presiden Umno sedang hadapi caj. Apakah ahli Umno akan terus sokong Umno?” soalnya.

Mahathir berkata demikian meskipun Umno ketika ini bersama kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar Ibrahim, yang menyaksikan Zahid dilantik sebagai timbalan perdana menteri.


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo