BNM dijangka meneruskan kenaikan OPR bagi membendung inflasi |
KUALA LUMPUR: Pertumbuhan ekonomi Malaysia diunjur lebih sederhana pada 2023 disebabkan kesan ketidaktentuan global pada beberapa bulan akan datang.
Aktiviti ekonomi di negara ini secara umumnya akan dipengaruhi perkembangan dan trend di seluruh dunia, termasuk kemungkinan inflasi berterusan, perkembangan pesat teknologi dan usaha ke arah alam sekitar yang lebih bersih.
Berikut antara perkembangan yang dijangka berlaku dalam sektor perniagaan di Malaysia tahun ini.
OPR akan terus dinaikkan
Kebanyakan penganalisis menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) akan melaksanakan kenaikan masing-masing sebanyak 25 mata asas Kadar Dasar Semalaman (OPR) kepada 3.25 peratus, berbanding 2.75 peratus sekarang memandangkan tekanan inflasi dijangka kekal pada 2023.
Perkembangan itu juga mengambil kira isyarat yang sudah diberikan oleh beberapa bank pusat di seluruh dunia, terutama Rizab Persekutuan (Fed) yang bersedia untuk terus menaikkan kadar pinjaman bagi membendung inflasi.
Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) bagi menentukan OPR diadakan buat kali pertama tahun ini pada 20 Januari.
Kenaikan tarif elektrik industri
Kenaikan harga tarif elektrik bagi pengguna bukan domestik dan bukan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berkuat kuasa pada 23 Januari ini.
Pengguna bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) kalangan industri, termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj 20 sen/kWj.
Bagaimanapun, kerajaan masih menampung subsidi RM1.93 bilion agar peningkatan surcaj ini tidak dilepaskan keseluruhannya secara mendadak
Khidmat bank digital bermula
Sebahagian daripada lima penerima lesen bank digital dijangka melancarkan perkhidmatan masing-masing tahun ini.
Konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd antaranya mengumumkan untuk memperkenalkan platform perbankan digital seawal separuh kedua tahun ini, dengan pelaburan sebesar RM1 bilion.
Sementara itu, konsortium yang diterajui GXS Bank Pte Ltd yang juga syarikat usaha sama antara Grab dan Singtel bersama Kuok Brothers Sdn Bhd berkemungkinan melancarkan perkhidmatan sedemikian pada tahun ini.
Tender projek MRT3 fokus utama projek mega
Fokus utama projek mega pada tahun ini adalah terhadap pelaksanaan projek MRT3 yang dianggar RM50.2 bilion secara keseluruhannya.
Kerajaan dijangka memberikan tumpuan untuk memulakan projek dengan sebahagian daripada tender pembinaan bernilai RM34 bilion mula diberikan tahun ini.
Kos keseluruhan projek mega ini akan dimuktamadkan selepas proses tender terbuka diselesaikan.
Kemasukan pekerja asing dipercepat
Kerajaan dijangka mempercepatkan proses kemasukan pekerja asing bagi mengurangkan isu kekurangan tenaga kerja yang berlaku, terutama dalam sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan.
Berdasarkan maklumat daripada industri, sudah ada kemasukan tenaga kerja secara beransur-ansur ke dalam sektor perladangan sejak tahun lalu dan terus ditambah sepanjang tahun ini.
Perkembangan sama juga berlaku dalam sektor pembinaan apabila isu kekurangan tenaga kerja dijangka mulai reda dengan kelulusan pengambilan pekerja asing, sekali gus membolehkan kontraktor bersedia untuk pelaksanaan projek mega.
Rangkaian 5G diperluas
Kira-kira empat juga pengguna rangkaian mudah alih di Malaysia dijangka mendaftar dengan perkhidmatan jalur lebar 5G tahun ini.
Rangkaian internet pantas berkenaan ketika ini meliputi hampir keseluruhan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan sebahagian besar Pulau Pinang, Johor dan Negeri Sembilan, selain di beberapa kawasan di Melaka, Perak, Kelantan, Sabah serta Sarawak.
Setakat ini, enam pengendali rangkaian mudah alih (MNO) di Malaysia iaitu Celcom Axiata Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Telekom Malaysia Bhd, U Mobile Sdn Bhd and YTL Communications Sdn Bhd (YES) sudah menawarkan perkhidmatan 5G runcit kepada pengguna akhir masing-masing.
Lebih pilihan kenderaan elektrik
Pengguna akan mempunyai lebih banyak pilihan kenderaan elektrik (EV) apabila beberapa model baharu bakal diperkenalkan di Malaysia pada 2023.
Peralihan kepada EV antara langkah kerajaan dalam mencapai hasrat menjadikan negara rendah karbon pada masa depan.
Bermaz Auto Bhd dan Sime Darby Motors adalah antara pengedar kenderaan yang agresif memperkenalkan barisan EV masing-masing ke pasaran negara ini.
Sumber I BH Online
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment