NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tian Chua Sedih, Kecewa Dipecat PKR

KUALA LUMPUR – Bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua menganggap pengumuman pemecatan yang dibuat Jawatankuasa Disiplin PKR terhadap beliau dan empat lagi ahli PKR yang lain sebagai satu perbuatan tidak profesional dan tidak sopan kerana mereka tidak dimaklumkan terlebih dahulu.

Beliau mengakui sangat sedih dan kecewa dengan tindakan PKR itu.

“Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PKR, Datin Dr Tan Yee Kew, telah memilih untuk mengumumkan pemecatan saya kepada media sebelum menghantar sebarang pemberitahuan kepada saya dan individu-individu lain yang berkenaan. Perbuatan yang sangat tidak profesional ini amat dikesali dan tidak sopan.

“Sebagai aktivis PKR yang menyaksikan kelahiran gerakan ini dan terlibat berterusan dalam perjuangan selama lebih dua dekad, sudah tentunya saya sedih dan kecewa dengan keputusan tersebut.

“Sepanjang perjalanan perjuangan ini, saya tidak sekali pun pernah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan prinsip atau objektif politik Parti. Hati nurani saya bersih,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tian Chua, dan empat lagi ahli PKR dipecat selepas bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serta Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tanpa persetujuan parti.

Empat lagi yang dipecat ialah Puah Chee Haur daripada cabang PKR Parit Buntar, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali (Gopeng), M Mohganan (Taiping), serta Nur Khairunisa Abdullah (Sadong Jaya).

Sejak awal lagi Tian Chua memberitahu beliau bersedia menerima akibat bertanding dalam pilihan raya tanpa restu pucuk pimpinan parti.

“Saya akur bahawa parti perlu menjaga disiplin organisasi.

“Walau demikian dalam konteks senario pasca PRU15, pihak-pihak yang berlawan telah mengetepikan permusuhan semasa pilihanraya. Bahkan musuh lama termasuk mereka yang didakwa pengkhianat telah berdamai dan berikrar untuk bekerjasama dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Namun, tanpa mempertikaikan kuasa kepemimpinan, tindakan keras menerapkan peraturan adalah seolah-olah bertentangan dengan arus rekonsiliasi dan keterangkuman dalam suasana politik saat ini. Saya ingin menegaskan bahawa saya mengambil tanggungjawab atas semua tindakan saya tanpa menyalahkan sesiapa,” ujarnya.

Tambah Tian Chua lagi, beliau menyertai perjuangan reformasi sejak tahun 1998 hanya dengan tujuan membawa perubahan demokrasi kepada tanah air.

“Hari ini saya bangga melihat usaha bertahun-tahun tidak sia-sia. Saya sedikit pun tidak menyesali setiap minit yang ditabur dalam perjuangan ini.

“Masih banyak lagi cabaran di hadapan kita. Saya berjanji kepada para penyokong bahawa saya tidak akan memperlahankan langkah kegiatan untuk melakukan pembaharuan. Saya tidak akan undur dari berjuang untuk membela hak dan kesejahteraan rakyat,” tegasnya.

kredit foto: Facebook

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo