Tiada alasan yang wajar untuk UMNO menyekat daripada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dibuka untuk pertandingan kerana masing-masing sudah mendapat habuan dalam kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN).
Dengan jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi oleh cikgunya, takkan masih takut untuk berdepan pencabar lain bagi merebut jawatan Presiden UMNO?
Selain Zahid yang sudah memegang jawatan kedua tertinggi negara, timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan juga sekarang ini sudah menjadi Menteri penuh di Kementerian Pertahanan.
Tiada alasan untuk kedua-dua pemimpin UMNO tersebut tidak menyokong pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan UMNO nanti, malah jika dilihat atas kertas sudah semestinya mereka berdua mempunyai kelebihan berbanding pencabar lain.
Tidak ada apa yang perlu dibimbangkan lagi kerana semua pencabar sebelum ini sudah dilihat tidak lagi mempunyai taring untuk bertempur dengan Zahid dan Mohamad pada pemilihan UMNO nanti, bahkan tinggal berapa kerat sahaja yang berani melawan mereka berdua nanti.
Nama-nama besar seperti Tan Sri Annuar Musa, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Datuk Seri Shahidan Kassim yang dilihat lantang terhadap kedua-dua pemimpin UMNO tersebut sudah dicantas semuanya, jadi tiada apa lagi yang boleh menjadi batu penghalang untuk mengekalkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Malah, lebih baik jika pemilihan UMNO dipercepatkan kerana ketika ini kedudukan Zahid dan Mohamad dilihat berada pada keadaan amat selesa sekali untuk mengekalkan jawatan mereka tanpa perlu bersaing sengit.
Susuk seperti Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu pun Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini sudah tidak memiliki jawatan dalam kerajaan campuran PH-BN seakan sudah tidak lagi bermaya untuk bersaing pada pemilihan UMNO nanti.
Dengan jawatan yang dipegang Zahid dan Mohamad dalam kerajaan, sudah semestinya akar umbi akan memberi sokongan penuh kepada mereka pada pemilihan nanti.
Lagipun, bukankah dengan jawatan tersebut ia akan memudahkan kedua-dua mereka untuk menggunakan platform di kementerian untuk mempromosikan diri masing-masing kepada akar umbi bagi menunjukkan kehebatan masing-masing dan mempengaruhi ahli-ahli UMNO untuk menyokong mereka.
Pemilihan UMNO juga boleh boleh menjadi pentas terbaik untuk membuktikan keputusan dan pendirian untuk tidur sekatil dengan PH dan DAP sebenarnya mendapat restu ahli tersebut.
Selain itu, pemilihan UMNO juga akan dapat menjadi medan terbaik buat Zahid dan Mohamad untuk menunjukkan kepada rakyat setiap tindakan dan keputusan yang diputuskan untuk bersama DAP dan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat dengan mandat semua ahli-ahlinya.
Dengan kejayaan membentuk kerajaan bersama PH dan DAP, ia sepatutnya menjadi satu kebanggaan kepada Zahid dan Mohamad untuk dijaja kepada akar umbi semasa pemilihan nanti.
Zahid dan Mohamad boleh berkempen kepada akar umbi UMNO bahawa langkah menyokong DAP dan Anwar sebenarnya memberi kelebihan kepada mereka untuk menghadapi pilihan raya negeri selepas ini.
Namun, persoalannya adakah UMNO berani untuk membuka pertandingan bagi merebut jawatan Presiden dan Timbalan Presiden?
Beranikah UMNO menyerahkan kepada semua ahli partinya untuk menentukan masa depan parti tersebut dan bukan ditentukan oleh beberapa individu sahaja dalam parti tersebut sahaja.
Pertimbangan sewajarnya perlu dibuat setiap ahli UMNO jika mahu melihat parti tersebut bangkit daripada kekalahan memalukan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) lalu.
Jika masih kekal dengan budaya menjilat dan membodek, nampaknya tidak mustahil selepas ini UMNO akan hanya diingati pada batu nisan sahaja.
- agendaily.com
No comments
Post a Comment