PETALING JAYA: Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr. Radzi Jidin mempersoalkan sejak bila bekas menteri memperoleh kemudahan kereta seperti dikatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Ini fitnah apa pula? DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kata, beliau telah batalkan kemudahan kereta untuk bekas-bekas menteri yang baru ini.
“Soalnya, sejak bila bekas menteri ada kemudahan kereta? Batalkan perkara yang tak wujud? Bantu banteras fitnah ini, tolong kongsi-kongsikan,” kata bekas Menteri Pendidikan itu dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Rabu lepas, media melaporkan, Perdana Menteri dalam satu sidang khas di Putrajaya berkata, cadangan menghapuskan pencen bekas anggota Kabinet sebelum ini adalah tidak munasabah kerana isu berkaitan itu termaktub kepada Perlembagaan Persekutuan.
Anwar berkata, langkah yang diambil oleh pentadbirannya hanya menarik balik kemudahan yang diberikan kepada anggota Kabinet, antaranya kemudahan kereta.
“Yang saya lakukan adalah bekas-bekas menteri yang baharu ini dapat kemudahan biasa dan kereta, semua itu saya batalkan. Setakat ini lebih baik dari segi pentadbiran dan tidak melibatkan perlembagaan,” katanya. – UTUSAN
No comments
Post a Comment