KEMAMAN: Seorang warga emas gembira apabila menyambut Tahun Baharu Cina bersama empat menantunya yang beragama Islam di rumahnya di Taman Desa Impian, Kampung Binjai, dekat sini, semalam.
Lebih unik, Liew Siah Hwa, 79, berkata, walaupun tiga daripada empat anak lelakinya yang berkahwin dengan wanita beragama Islam telah meninggal dunia, namun kesemua menantunya itu tetap pulang meraikan perayaan itu pada setiap tahun.
Menurutnya, walaupun berbeza agama, bangsa dan budaya, mereka boleh hidup sekeluarga termasuk cucu dan cicitnya seperti keluarga lain yang sama agama.
“Empat anak lelaki saya peluk Islam sejak 40 tahun lalu. Walaupun tiga daripadanya telah meninggal dunia tetapi menantu saya tetap meraikan saya dan keluarga anak bongsu saya menyambut perayaan ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya, di sini semalam.
Sementara itu menantunya, Nur Khairulnissa Abdullah, 31, berkata, dia yang kehilangan suaminya, Muhammad Khairul Azizul Seong Liang Heng sejak empat tahun lalu akibat kanser paru-paru tidak pernah merasa kekok berada dalam keluarga tersebut.
“Setiap kali perayaan, kami akan berkumpul beramai-ramai sehari sebelum Tahun Baharu Cina untuk sambut makan besar dengan memasak pelbagai masakan Melayu dan Cina.
“Kami menyediakan juadah seperti rendang, nasi minyak, pulut kuning, kuih bakul goreng dan kuih bulan,” ujarnya.
Sementara itu, anak lelakinya, Mohd. Hakimi Keong, 56, berkata, dia yang memeluk agama Islam sejak 34 tahun lalu akan menyambut tiga kali perayaan setiap tahun iaitu Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
“Kalau Tahun Baharu Cina, saya akan pulang ke rumah ibu, apabila tiba sambutan hari raya untuk Muslim, ibu saya akan bertandang ke rumah saya,” katanya.
Mohd. Hakimi Keong menambah, anak-anaknya juga teruja menyambut Tahun Baharu Cina bersama nenek mereka pada setiap tahun. –UTUSAN
No comments
Post a Comment