Puteri Sarah jawab tuduhan Syamsul keluar rumah dan membawa anak-anak tanpa keizinannya. |
KUALA LUMPUR: "Gerak hati seorang isteri tidak akan menipu, saya sudah lama dapat merasakan Syamsul akan berkahwin dengan Ira Kazar," demikian reaksi pelakon Puteri Sarah Liyana berhubung tindakan suaminya yang juga pengarah kontroversi, Syamsul Yusof memadukannya.
Puteri Sarah berkata, dia dapat mengagak Syamsul dan Ira akan berkahwin di Thailand, malah pernah memuat naik hantaran dalam laman Instagram selepas menerima banyak mesej langsung daripada pihak Ira, baru-baru ini.
"Akhirnya, keluar juga daripada mulut Syamsul siapa Ira sebenarnya. Itu sudah memadai untuk saya mengetahui kebenaran.
"Seperti yang pernah dinyatakan sebelum ini, saya hanya inginkan kepastian sebelum membuat keputusan besar dalam hidup.
"Sama ada saya dan Syamsul akan berpisah atau sebaliknya, kita tunggu sahaja nanti," katanya kepada BH Online.
Terdahulu, Syamsul meleraikan spekulasi apabila mengesahkan berkahwin dua dengan wanita pilihannya, Ira Kazar di Thailand, hari ini.
Syamsul berkongsi berita gembira itu menerusi video dimuat naik dalam laman Instagram (IG), jam 3 petang tadi.
Upacara akad nikah Syamsul dan Ira berwalikan bapa Ira yang juga pelakon veteran, Kazar Saisi.
"Hari ini saya bergelar suami Ira dengan berwalikan bapanya, Kazar.
"Ira kini sah menjadi isteri saya di sisi syarak dan Allah," katanya dalam video berkenaan.
Menjawab pertanyaan, adakah rela dimadukan, Puteri Sarah pantas memintas, "Saya tak nak jawab."
Puteri Sarah berkata, dia berterima kasih kepada Syamsul akhirnya mengaku selepas diasak persoalan berkahwin lagi.
"Terima kasih mengkhianati saya dengan memutarbelit fakta sebenar apa yang berlaku.
"Tidak mengapa saya mempunyai semua bukti membabitkan hubungan mereka. Jadi, kita jumpa di mahkamah," katanya.
Tambah Puteri Sarah, Syamsul sepatutnya bersikap lebih 'gentleman' dalam menangani isu rumah tangga yang berlarutan sejak empat tahun lalu.
"Sebelum ajak saya balik rumah berbincang, saya nak tanya Syamsul kenapa mendiamkan diri selama ini?
"Kenapa baru sekarang nak persoalkan? Dan, siapa sebenarnya yang keluar rumah dahulu?
"Kami duduk serumah pun tak bercakap. Dia hanya duduk terperap dalam bilik, sedangkan isu dalaman rumah tangga sudah lama berlarutan sejak saya mengetahui hubungannya dengan Ira.
"Kenapa tidak berterus-terang dan cuba menyelesaikan masalah rumahtangga?," persoal Puteri Sarah.
Pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu turut kesal apabila kisah suaminya berkahwin dua hanya diketahui menerusi media sosial.
"Syamsul boleh mencari saya di rumah keluarganya. Jangan cakap saya tak cari, sedangkan Syamsul menyekat nombor telefon saya sejak setahun lalu.
"Tolonglah, jangan bermuka-muka atau bersikap naif dalam isu rumah tangga. Kita sudah matang, sebagai ketua keluarga sepatutnya lebih bijak menangani masalah yang dia sendiri cari," katanya.
Menjawab tuduhan Syamsul dirinya keluar rumah dan membawa anak-anak tanpa keizinan, Puteri Sarah berkata, ia adalah dakwaan tidak berasas.
"Kalau anak-anak boleh beri kenyataan, mereka pasti akan mengatakan ayah mereka banyak kali keluar rumah dan tinggalkan kami. Malah, anak-anak juga selalu tanya kenapa ayah selalu tiada di rumah?
"Saya tidak pernah lari ke mana-mana. Saya ada sahaja di rumah mentua, hanya esekali di rumah mak ayah saya.
"Anak-anak juga di situ. Kenapa tak datang? Ketika kami mahu menunaikan umrah, adakah patut dia minta keluarga mentua membawa anak-anak pergi bertemunya.
"Sepatutnya, dialah datang bertemu anak-anak. Selama ini, bukan saya tak ajak berbincang, malah keluarga mentua juga sudah puas menasihatinya.
"Tetapi, Syamsul sendiri mengambil pendekatan melarikan diri daripada masalah.
"Begitulah lelaki selalu guna kuasa veto dengan perkataan 'masih suami', tetapi gagal dalam nafkah batin sehingga menganggu kesihatan mental isteri," katanya.
Puteri Sarah mendakwa, Ira melanggar perintah injuksi seperti yang difailkan, tahun lalu disebabkan keputusan berkahwin di Thailand.
"Saya sudah banyak kali tanya sama ada nak berkahwin dengan Ira ataupun tidak. Tetapi, Syamsul tidak mengaku dan beberapa kali berkata tidak mahu berkahwin dengan Ira.
"Kalau mengaku sejak awal tidaklah saya turun naik mahkamah dan pergi ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk membuat laporan terhadap gangguan dibuat oleh Ira.
"Sekarang, Ira boleh didakwa menghina mahkamah dengan melanggar perintah injuksi. Apapun, jumpa isteri baharu anda di mahkamah," katanya.
Sumber | BH Online
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment